
AMMAN, Jordan: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyeru agar mahasiswa anak-anak Perlis di Jordan menuntut ilmu dengan penuh adab dan disiplin, seterusnya kembali ke tanah air kelak untuk menabur bakti kepada negeri dan ibu bapa.
Dalam ucapannya, beliau berkongsi hasrat serta hala tuju Kerajaan Negeri dipimpinnya dalam membangunkan negeri Perlis secara menyeluruh.
Antara tumpuan utama yang disentuh ialah pembangunan Kawasa. Industri Lembah Chuping (CVIA) serta Pelabuhan Darat Negeri Perlis (Perlis Inland Port) yang bakal menjadi pemangkin utama ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak muda Perlis pada masa hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar seseorang penuntut bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui keperibadian dan akhlak yang tinggi.
“Ilmu tanpa adab tidak memberi berkat. Maka tuntutlah ilmu dengan hati yang bersih, niat yang ikhlas dan akhlak yang mulia,” pesan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Pesanan itu disampaikan beliau dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Besar bersama Ikatan Mahasiswa Anak-Anak Perlis (IMAPs) yang berlangsung di Ayass Hotel, di sini semalam.
Selain itu, Mohd Shukri turut menggalakkan budaya berpersatuan dalam kalangan mahasiswa Perlis sebagai wadah membina kepimpinan, pengalaman hidup dan kemahiran sosial.
Beliau menekankan bahawa pengalaman yang dikumpul sepanjang berada di luar negara adalah bekalan berharga untuk masa depan apabila kembali berkhidmat di tanah air.
Sebagai tanda sokongan, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada IMAPs bagi membantu menjayakan pelbagai program dan aktiviti berpersatuan anak-anak Perlis di Jordan.
Majlis berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh ukhuwah, menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan serta pembangunan sahsiah anak-anak Perlis yang menuntut di luar negara. – HARAKAHDAILY 23/10/2025











