Pemuda PAS nadi kebangkitan Islam di Kelantan sejak 1959

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejarah perjuangan Pemuda PAS Negeri Kelantan membuktikan sayap anak muda ini menjadi tunjang utama dalam jatuh bangun gerakan Islam di negeri ini sejak tertubuhnya kerajaan Islam pertama pada tahun 1959.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, dalam tempoh pemerintahan pertama di bawah pimpinan Dato’ Bentara Setia Haji Mohd Asri Muda, 1959 hingga 1978, Pemuda PAS muncul sebagai tenaga penggerak utama.

“Pemuda ketika itu bukan sekadar jentera pilihan raya, tetapi juga lidah penerangan Islam dan penghubung antara ulama dengan rakyat yang menghidupkan semangat dakwah dan perjuangan Islam di setiap lapisan masyarakat.

“Mereka mendidik masyarakat untuk memahami makna sebenar perjuangan Islam,” katanya sewaktu berucap di Wacana 70 Tahun PAS Kelantan, di sini malam kelmarin.

Beliau berkata antara tokoh awal dalam membentuk kekuatan sayap Pemuda ialah Ustaz Abd Kadir Said yang memainkan peranan besar memperkukuh semangat kaderisasi dan tarbiah dakwah.

Namun, beliau berkata tahun 1978 menjadi titik hitam apabila PAS kehilangan pentadbiran Kelantan akibat tekanan politik dan pergolakan dalaman.

“Walaupun PAS kehilangan kuasa, semangat anak muda tidak pernah padam. Mereka tetap mempertahankan maruah perjuangan Islam walaupun dalam keadaan sukar,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi selepas kekalahan itu, Pemuda PAS bangkit dengan semangat baharu membina kekuatan organisasi dan memperkasa strategi politik serta dakwah.

“Tahun 1982 menjadi detik penting apabila usul memperkasa kepimpinan ulama yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS diluluskan dalam Muktamar PAS Pusat.

“Inilah titik perubahan besar yang membentuk hala tuju baharu perjuangan PAS,” katanya turut mengimbas inisiatif besar yang dicetuskan oleh Pemuda PAS sepanjang era kebangkitan, antaranya penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada tahun 1980.

PASTI menurutnya menjadi sistem pendidikan awal Islam serta kelahiran Putra Islam Kelantan pada tahun 1988 yang kemudiannya diselaraskan di seluruh negeri pada tahun 1991.

“Pemuda juga menubuhkan Unit Amal yang bermula secara tidak rasmi pada 1988 dan diiktiraf secara rasmi pada 1991. Unit ini bukan sahaja menjadi benteng keselamatan tetapi simbol disiplin, keberanian dan kesetiaan terhadap perjuangan Islam,” tambah beliau.

Firdaus turut menzahirkan rasa penghargaan terhadap pengorbanan tokoh terdahulu, termasuk Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gul, yang mati dibunuh secara kejam kerana keberaniannya menentang kezaliman.

“Darah perjuang inilah yang menjadi baja kepada kebangkitan generasi selepasnya,” katanya membangkitkan semangat hadirin pada majlis tersebut.

Beliau berkata hasil kesabaran dan kerja keras Pemuda PAS, Kelantan akhirnya kembali diperintah oleh PAS pada tahun 1990, menandakan kemenangan fasa kedua pemerintahan Islam di negeri Serambi Makkah.

“Kita ingin generasi muda hari ini memahami sejarah perjuangan ini dan Pemuda PAS bukan sekadar penggerak parti, tetapi benteng akidah dan maruah Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -