
KOTA BHARU: PAS Kelantan merangka pendekatan baharu bagi mempertahankan kerajaan negeri dengan memperkukuhkan peranan semua pihak terutamanya golongan ulama yang menjadi teras perjuangan.
Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, biarpun menyedari pemerintahan tidak bertahan selama-lamanya, namun hasrat tersebut menjadi fokus utama.
Beliau berkata, golongan itu memainkan fungsi kritikal menyebabkan PAS Kelantan buat pertama kali dalam sejarah parti memerintah negeri selama 19 tahun iaitu bermula 1959 sehingga 1978.
“Kita lihat sehingga PAS bertapak di Kelantan dan berjaya dalam Pilihan Raya Umum 1959 adalah daripada peranan ulama, sejak 1930 lagi ulama kita aktif menyebarkan ilmu dan pandangan siasah.
“Cuma bagi kita hari ini ialah kita kena susun satu strategi, ulama hari ini dari pelbagai institusi pendidikan, maka kita perlu strategi lebih mendalam bagi dapat sokongan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar 70 Tahun PAS Kelantan: Kestabilan Parti Kerajaan Membangkitkan Perjuangan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Center (KTC), di sini semalam.
Terdahulu beliau turut menyertai pembentangan utama yang disampaikan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah bertajuk ’70 Tahun PAS Kelantan: Kestabilan Parti Kerajaan Membangkitkan Perjuangan’.
Pada majlis yang sama diadakan Wacana 70 Tahun PAS Kelantan dipengerusikan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan yang juga Pengarah Pusat Kajian Strategik, Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof.
Ia membariskan ahli panel dari lima sayap parti iaitu Ketua Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Ketua Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.
Selain itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi; Ketua Himpunan Pendokong PAS Kelantan, Lim Guan Seng dan Ketua as-Sabiqun PAS Kelantan, Dato’ Abdullah Yakub.
Timbalan Mursyidul ‘Am PAS itu berkata lagi, pengalaman lalu, termasuk kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-5 pada tahun 1978, menjadi iktibar dan pengajaran utama bagi PAS Kelantan.
Dengan pengalaman politik negara selain usia PAS Kelantan yang kini mencecah 70 tahun dan tempoh pemerintahan 53 tahun katanya, beliau menaruh keyakinan mempertahankan kerajaan sekarang.
Malah dengan perancangan dilakukan sekarang termasuk Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dan agenda PAS Pusat “Islam Adalah Penyelesaian” mampu memartabatkan Islam pada masa hadapan.
“Maka di sini kita mesti benar-benar dapat pertahankan kerajaan ini dengan pembaharuan-pembaharuan yang dapat kita laksanakan, kita adalah kerajaan yang akan memerintah sehingga 100 tahun.
“Kerana kita mengharapkan akan lahir dihadapan nanti seorang pembaharu mujadid 100 tahun yang sesuai dengan suasana pada waktu itu berasaskan pendidikan yang ada pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2025












