Agih peruntukan pembangunan wilayah secara adil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyalurkan peruntukan pembangunan secara lebih adil antara negeri bagi memastikan semua wilayah mendapat manfaat seimbang dalam aspek kemudahan asas dan pertumbuhan ekonomi.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, meskipun Terengganu mencatat pelbagai pencapaian positif termasuk dinobatkan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia, negeri itu masih menerima peruntukan pembangunan yang rendah berbanding negeri lain.

“Berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu berada di tempat pertama sebagai negeri paling bahagia, manakala Setiu pula mendapat tempat ketujuh dalam senarai daerah paling bahagia di Malaysia.

“Terengganu telah mencatatkan lebih 7.8 juta pelancong pada tahun 2024, melepasi sasaran awal 4.5 juta orang. Ini menunjukkan kontensi pelancongan yang tinggi di Terengganu.

“Namun di manakah infrastruktur yang dibangunkan untuk memajukan lagi negeri Terengganu? Jumlah peruntukan promosi pelancongan yang diterima Terengganu adalah masih rendah dua tahun berturut-turut,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Terengganu hanya menerima RM470,000 bagi tujuan promosi pelancongan untuk tahun 2025, jauh lebih rendah berbanding Wilayah Persekutuan (RM1.33 juta), Selangor (RM1.26 juta) dan Sabah (RM1.07 juta).

“Jurang ini amat ketara dan menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mengurus dana secara adil antara negeri maju dan negeri yang masih memerlukan sokongan pembangunan,” katanya.

Menurut Shaharizukirnain, pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang menjadi nadi penghubung antara Terengganu dan Kelantan juga perlu diberi perhatian.

“LPT3 merupakan nadi penghubung utama antara Terengganu dan Kelantan, yang berpotensi membuka kawasan pedalaman seperti Setiu, Besut dan Hulu Terengganu kepada pelaburan dalam sektor logistik dan pelancongan.

“Namun, projek yang sepatutnya diberi keutamaan ini dilihat tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam Belanjawan ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan penurunan mendadak peruntukan bagi bekalan air di Terengganu yang hanya menerima RM1.2 juta pada tahun ini berbanding RM5 juta tahun sebelumnya, iaitu penurunan hampir 80 peratus.

“Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding negeri lain seperti Johor (RM45.2 juta), Pulau Pinang (RM31.2 juta), Melaka (RM88.6 juta) dan Negeri Sembilan (RM16.2 juta).

“Terengganu berada di tangga kedua tercorot dalam agihan peruntukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -