
KOTA BHARU: Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Dasar ‘Membangun Bersama Islam’ menonjolkan sejarah perjuangan 14 PAS Kawasan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang PAS di Kelantan.
Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, sejarah perjuangan ini perlu ditonjolkan agar ia tidak hilang begitu sahaja menerusi penganjuran selama lima hari bermula 21 hingga 25 Oktober ini.
“Generasi hari ini perlu melihat dan memahami perjuangan terdahulu yang penuh dengan cabaran, kesabaran dan komitmen,” katanya ketika merasmikan pameran sempena majlis itu di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.
Beliau menegaskan bahawa PAS telah bertapak di Kelantan selama 70 tahun berkembang dengan subur hasil kekuatan iman dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
“Anak muda perlu belajar daripada sejarah perjuangan terdahulu supaya mereka dapat mengekalkan momentum kemenangan PAS di Kelantan. Walaupun kita serba kekurangan, dengan keimanan dan semangat perjuangan yang jitu, kita mampu menghadapi pelbagai cabaran,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan sebahagian pimpinan terdahulu gugur dalam perjuangan dan ada ketika ceramah dihalang, namun semangat jihad dan pengorbanan tetap diteruskan.
Antara acara utama sepanjang sambutan ialah Pentas Ulamak, persembahan hiburan anak muda Trio, Pameran Arkib, Seminar 70 Tahun PAS Kelantan, Konsert Amal Smud Palestin serta Karnival 35 Tahun ‘Membangun Bersama Islam’.
Turut memeriahkan program ialah Hari Anak Muda Kelantan, Kuliah Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus serta ceramah perdana bersama tokoh-tokoh utama PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Dato’ Wan Roslan berharap pameran sejarah dan pengisian program ini akan membuka mata masyarakat terhadap kehebatan perjuangan PAS dalam menegakkan syiar Islam di negeri Serambi Makkah.
“Inilah perjuangan yang perlu terus dipertahankan agar dasar Islam kekal subur di bumi Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2025













