Nafi permohonan sebarang aktiviti Maritim Malaysia

- Advertisement -

MARANG: Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan menerima sebarang permohonan atau permakluman daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia – APMM) berhubung aktiviti yang dijalankan di masjid itu pada 19 September lalu.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan atau makluman daripada agensi berkenaan sama ada secara lisan mahupun bertulis, seperti dinyatakan dalam kenyataan Ketua Pengarah Maritim Malaysia semalam.

“Kami juga telah menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat pengesahan dari mereka sekiranya ada apa-apa aktiviti dari mana-mana agensi yang berkaitan.

“Jawapan yang kami terima tiada apa-apa aktiviti  yang dijalankan pada masa dan tarikh tersebut di bawah permakluman mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azri berkata, berikutan itu pihak masjid mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Setelah itu barulah kami menerima permakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada pihak Maritim Malaysia. Pihak masjid sangat kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh Maritim Malaysia didalam menangani isu ini,” katanya.

Terdahulu, _HarakahDaily_ melaporkan, ketika sidang Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan komando dijalankan APMM di masjid berkenaan yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.

Beliau berkata, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan.

Beliau mempersoalkan apakah wujud Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) ditetapkan kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang mempunyai pasukan khas untuk mengadakan latihan sedemikian.

Bahkan Setiausaha Agung PAS Pusat itu mempunyai dokumen berkaitan termasuk salinan laporan polis dan juga rakaman visual yang diambil dari kamera litar tertutup (CCTV) masjid. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -