
ALOR SETAR: Motivasi Perdana dan Teknik Menjawab Soalan SPM 2025 berjaya menghimpunkan hampir 700 pelajar dari seluruh negeri Kedah dalam suasana penuh semangat dan inspirasi pada program yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon, di sini Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, hadir memeriahkan program berkenaan dan menyampaikan amanat kepada para pelajar.
Beliau berkata, program ini memberi tumpuan kepada lima subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sejarah, dengan pendekatan praktikal serta strategi menjawab soalan yang efektif bagi membantu pelajar memahami kehendak sebenar peperiksaan.
“Program sebegini amat penting bukan sahaja untuk memberi pendedahan kepada pelajar, tetapi juga untuk menyuntik semangat, membina keyakinan dan membimbing mereka agar lebih berstrategi dalam menghadapi peperiksaan,” katanya.
Prof Dr Haim turut merakamkan penghargaan kepada para guru serta ibu bapa yang sentiasa mendukung usaha memperkasakan pelajar melalui pelbagai program akademik dan bimbingan.
Beliau menyeru agar para pelajar terus berusaha dengan penuh disiplin, menghormati ibu bapa dan guru, serta menjaga akhlak dalam setiap langkah kehidupan.
“Dengan ilmu, iman dan usaha yang berterusan, saya yakin anak-anak Kedah akan menjadi generasi cemerlang yang mampu mengharumkan negeri dan negara,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.
Program tersebut menjadi manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan modal insan terus diberi perhatian utama, seiring dengan visi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing menghadapi cabaran masa depan. – HARAKAHDAILY 23/10/2025













