
KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan, larangan penggunaan rotan di sekolah oleh Kementerian Pendidikan adalah langkah yang berasaskan cara pendidikan Barat dan bukan berpaksikan kepada sistem pendidikan Islam.
Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja menjadikan sistem pendidikan negara pincang, malah menafikan salah satu kaedah pendidikan yang diizinkan dalam Islam dan telah diamalkan sejak lebih seribu tahun dalam sejarah umat Islam.
“Rasulullah SAW tidak pernah menggunakan rotan dalam mendidik umatnya, tetapi Baginda membenarkan penggunaannya oleh umatnya dalam pendidikan anak-anak sama ada oleh ibu bapa atau guru.
“Apabila pihak Kementerian Pendidikan melarang penggunaannya di sekolah, ia menjadi cacat, bahkan amat cacat,” ujarnya Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu dalam media sosial miliknya.
Menurutnya, larangan itu perlu dikaji semula supaya penggunaan rotan dapat ditetapkan dalam maksud yang diizinkan oleh Rasulullah SAW serta dilaksanakan dengan kebijaksanaan dan penuh kawalan.
“Saya sarankan ia dikaji semula dan mestilah dalam maksud ‘keizinan’ oleh Baginda al-Rasul. Bukan hanya kayu rotan, besi pun disebut oleh Allah sebagai ‘manfaat buat manusia’ sama ada semasa hidup tenang atau (ketika) ribut.
“Jangan memandulkan peranan rotan dalam pendidikan anak-anak. Ukur dan hadkannya mengikut lunas serta peraturan yang kita tentukan dengan bijaksana,” gesanya.
Nik Abduh menegaskan, rasa takut dalam diri anak-anak perlu dibentuk kerana ia menjadi perisai yang menghalang mereka daripada melakukan kesalahan dan maksiat.
“Rasa takut adalah perisai dalam diri anak-anak. Rotan adalah antara bahan buatan perisai itu. Allah merotan hamba-Nya di dunia dengan musibah dan kesakitan.
“Kesakitan menjadi perisai daripada melakukan kejahatan dan maksiat. Adakah itu bukan daripada sifat rahmat-Nya yang agung?” tegas Ahli Dewan Negara daripada Kelantan itu.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah dirotan semasa kecil, sama ada di rumah mahupun di sekolah, dan menyifatkan pengalaman itu membawa kesan positif dalam pembentukan akhlak dan disiplin diri.
“Saya semasa zaman persekolahan awal telah dirotan di rumah dan dirotan di sekolah. Saya yakin perotan adalah benar kerana hasilnya adalah benar. Beribrahlah dengan ajaran agama,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan pelbagai gejala sosial termasuk kes bunuh, rogol, buli dan lain-lain yang berlaku di sekolah rendah, menengah juga universiti, sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak bagi menanganinya. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











