
KOTA BHARU: Penyatuan tenaga dan pengundi menjadi kunci kepada kemenangan besar yang dinikmati hari ini.
Perjuangan tanpa henti oleh pejuang terdahulu dalam parti sejak sekian lama menjadikan Kelantan kekal diterajui PAS selama 35 tahun selepas berjaya merampasnya daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan mengingatkan golongan As-Sabiqun supaya mengekalkan rekod tanpa kalah selama 35 tahun itu yang pernah mereka perjuangkan ketika masih muda dahulu.
“Kegigihan ini perlu didedahkan kepada anak muda zaman kini agar mereka sedar perjuangan PAS dahulu banyak ranjau dan kesukaran sehingga akhirnya diberi kemenangan sejak 35 tahun lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Jentera As-Sabiqun Tumpat sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Pentadbiran Kerajaan Kelantan yang diadakan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat, baru-baru ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha As-Sabiqun Pusat, Mohd Noor Muhammad.

Seramai empat aktivis parti menerima anugerah masing-masing pada majlis tersebut.
Mohd Adanan menegaskan, kemenangan yang dicapai bukan hasil kerja individu, tetapi gabungan usaha mereka yang bekerja keras dan menyusun strategi bagi memastikan Islam terus dihormati di tanah air.
Menurutnya, perjuangan menegakkan Islam bukan perkara baharu, malah telah ditempa melalui sejarah panjang penuh pengorbanan serta kesabaran menghadapi cabaran dan tekanan musuh.
Beliau berkata, generasi muda masa kini perlu dididik untuk memahami sejarah perjuangan tersebut agar tidak melupakan akar kekuatan yang membawa kepada kejayaan ini.
Tambahnya, hubungan erat antara parti dan masyarakat mesti terus diperkukuh supaya mesej perjuangan sampai kepada semua lapisan rakyat tanpa terputus di tengah jalan.
“Mereka yang hebat, yang bekerja kuat, yang menyusun pengundi, semuanya berperanan memastikan kita capai kemenangan besar.
“Seluruh dunia melihat bagaimana kita menang, dan Islam kini dihormati sebagai asas kekuatan negara kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, perjuangan tidak boleh terhenti setakat kemenangan politik semata-mata, sebaliknya mesti diteruskan dengan dakwah, pendidikan dan pembinaan masyarakat.
Sementara itu, Mohd Noor Muhammad ketika merasmikan majlis tersebut berkata, kerajaan hari ini semakin menunjukkan ‘muka’ sebenar mereka apabila berlaku kes hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan secara terbuka.
Menurutnya, PAS sejak awal penubuhannya telah menentang perkara sedemikian sehingga kerajaan terpaksa mengharamkan iklan penjualan minuman keras di televisyen sekitar tahun 1970-an.
“Bukan itu sahaja, loteri kebajikan dan penjualan rokok di media tempatan serta elektronik juga turut dibangkang oleh kita supaya kerajaan haramkan pengiklanannya secara terbuka sehingga akhirnya kerajaan akur,” katanya.
Namun tambahnya, kini usaha itu muncul kembali sedikit demi sedikit untuk menguji sejauh mana sensitiviti umat Islam terhadap perkara tersebut.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pimpinan PAS kawasan, wakil masyarakat setempat dan ahli As-Sabiqun. – HARAKAHDAILY 13/10/2025
















