
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan skandal besar melibatkan dokumen palsu pemain naturalisasi di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebagaimana dilaporkan dalam laporan penuh FIFA semalam.
Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, laporan lebih 6,000 perkataan itu mendedahkan bahawa FIFA memperoleh sijil kelahiran asal nenek moyang pemain-pemain terbabit daripada pejabat pendaftaran di negara asal masing-masing termasuk Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
FIFA mendapati dokumen yang dikemukakan oleh FAM telah diubah suai dengan menukar tempat lahir asal di luar negara kepada negeri-negeri di Malaysia seperti Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak.
Lebih mengejutkan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dilaporkan mengaku tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap.
“Pendedahan ini telah mengubah kes ini daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara — suatu perbuatan serius yang mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia,” kata Takiyuddin.
Beliau berkata, FIFA turut mendedahkan tujuh pemain kelahiran luar negara disahkan sebagai warganegara Malaysia melalui sijil kelahiran nenek moyang yang dipalsukan, malah dua daripada mereka turut menjaringkan gol dalam perlawanan rasmi.
Menurut beliau, laporan FIFA menegaskan bahawa pemalsuan tersebut bukanlah kesilapan teknikal, tetapi penipuan terancang yang menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen oleh FAM serta agensi kerajaan seperti JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
PN juga mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam urusan dokumentasi pemain.
“Siasatan yang telus amat penting, lebih-lebih lagi apabila FAM sendiri dalam kenyataannya pada 11 Jun 2025 berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas bantuan kerajaan dalam urusan dokumentasi pemain warisan baharu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan bekas Naib Presiden FAM menegaskan bahawa kejujuran dan integriti dalam sukan perlu diutamakan.
“Kemenangan bukanlah segala-galanya. Kekalahan yang berpunca daripada kejujuran dan semangat kesukanan yang tulen adalah lebih mulia daripada kemenangan melalui penipuan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/10/2025











