
Sempena genap dua tahun Taufan al-Aqsa semalam (7 Okt), Ḥarakah al-Muqāwamah al-ʾIslāmiyyah (HAMAS) mengeluarkan poster berdasarkan ayat berikut:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
“Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus Musa dengan membawa tanda-tanda (kekuasaan) Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya): “Keluarkanlah kaummu dari kegelapan kepada cahaya terang-benderang dan ingatkanlah mereka mengenai hari-hari Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang sangat sabar dan banyak bersyukur.” (Surah Ibrahim: 5)
Ia bukan sekadar poster dan ayat al-Quran. Ada banyak pengajaran di sebaliknya.
Pertama: Mandat perubahan daripada kegelapan menuju cahaya. Ini melibatkan tindakan.
Ayat ini bermula dengan kisah pengutusan Nabi Musa a.s. dengan perintah tegas (bermaksud): “Keluarkanlah kaummu daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang.”
Aspek haraki: Ini adalah perintah untuk aksi nyata (gerakan) dan perubahan mendasar (transformasi).
“Kegelapan” (az-zulumaat) tidak hanya bererti kekafiran, tetapi juga kebodohan, kemundurann, ketidakadilan dan segala bentuk keadaan buruk yang mengikat umat.
“Cahaya” (an-nur) adalah tauhid, ilmu, keadilan, kebebasan, dan kehidupan yang berpedomankan menurut syariat Allah.
Implikasinya, setiap muslim dan setiap organisasi dakwah memiliki tanggungjawab sejarah dan dinamika (haraki) untuk tidak berdiam diri dalam kegelapan. Perubahan ini memerlukan inisiatif, kepimpinan seperti Musa a.s., dan usaha tersusun untuk membebaskan umat dari kongkongan kegelapan menuju cerahnya iman dan peradaban.
- Peringatan sejarah: Hari-hari Allah (memori dan momentum)
Perintah kedua adalah “dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah” (Ayyamillah).
Aspek haraki: Ayyamillah merujuk pada peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah umat terdahulu, di mana Allah menunjukkan pertolongan-Nya kepada yang taat dan azab-Nya kepada yang ingkar. Ini bukanlah sekadar cerita, tetapi ‘bahan bakar’ buat sebuah gerakan.
Implikasinya ialah gerakan perubahan harus dibangunkan di atas kesedaran sejarah. Ia mengingatkan umat tentang Ayyamillah yang berfungsi untuk:
– membangkitkan keyakinan bahawa pertolongan Allah pasti datang setelah kesulitan yang panjang.
– menimbulkan sifat berhati-hati terhadap situasi pengkhianatan dan derhakakan Allah.
– membangkitkan semangat juang dan meneladani keteguhan para rasul dan orang soleh.
- Ciri asas bagi watak sebuah gerakan: Sabbar dan Syakur. Ia merujuk kepada karakter.
Intipati daripada ayat ini ditegaskan di bahagian akhir ayat (bermaksud): “Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang sangat sabar dan banyak bersyukur.”
Ini adalah penekanan terhadap watak asasi yang harus dimiliki oleh para pejuang dan agen perubahan iaitu:
Sabbarin (sangat sabar): Perkataan ini dalam bentuk mubaalaghah (berlebihan/sangat) menunjukkan bahawa perjuangan mengeluarkan umat daripada kegelapan menuju cahaya memerlukan tingkat kesabaran yang luar biasa.
Sabar dalam ketaatan: Konsisten melaksanakan perintah Allah meskipun sukar.
Sabar dalam menghadapi maksiat: Menjauhi larangan Allah meskipun godaannya besar.
Sabar dalam menghadapi musibah dan ujian dakwah.
Mesti tabah menghadapi dakwah yang ditolak, penentangan, pengorbanan, dan rintangan dalam berdakwah. Sabar adalah kekuatan untuk terus bergerak ke depan meskipun dalam situasi tertekan.
Syakuur (banyak bersyukur): Juga dalam bentuk mubaalaghah, menekankan pentingnya mensyukuri setiap nikmat dan pertolongan, sekecil manapun.
Implikasinya ialah syukur dalam konteks haraki adalah menggunakan nikmat Allah untuk tujuan ketaatan dan dakwah. Syukur bukan hanya lisan, tetapi adalah tindakan yang memanfaatkan semua potensi (waktu, harta, kekuatan, kecerdasan) untuk menegakkan an-nur iaitu cahaya Islam.
Syukur mencegah kesombongan saat menang dan menjaga semangat saat sukar.
Kesimpulan:
Ayat 5 surah Ibrahim adalah seruan untuk tindakan yang berkesinambungan (harakah) yang dipandu oleh kesedaran sejarah dan didukung oleh pembinaan watak yang hebat.
Perjuangan menuju kebenaran dan membaiki umat hanya akan berhasil jika dipegang teguh oleh individu-individu yang sangat teguh dalam kesabaran menghadapi kesulitan, dan tidak lupa untuk bersyukur menggunakan setiap nikmat sebagai modal dan alat perjuangan.
Semoga Allah membantu mereka yang membantu agama Allah ini dan memberi kemenangan kepada pejuang di bumi Gaza dan Palestin.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Terengganu – HARAKAHDAILY 8/10/2025











