Program ‘Angkat Madani’: SPR wajib tarik diri – NGO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan masyarakat sivil menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik diri daripada penglibatan dalam program Sekolah Angkat Madani dan Kampung Angkat Madani kerana bimbang ia akan menjejaskan imej serta kewibawaan badan itu sebagai institusi bebas yang mengendalikan pilihan raya negara.

- Advertisement -

Antara NGO yang menyuarakan kebimbangan itu ialah Bersih, Projek Sama, Engage, Tindak Malaysia dan Rise of Social Efforts (ROSE).

Mereka menegaskan bahawa pembabitan SPR dalam inisiatif kerajaan tersebut berpotensi menghakis keyakinan awam terhadap kebebasan dan keadilannya sebagai pengendali pilihan raya.

“Mandat SPR adalah untuk mengurus pilihan raya, mencadang sempadan kawasan pilihan raya serta menyelenggara daftar pemilih. Penyertaan dalam inisiatif Madani memberi gambaran negatif terhadap kebebasannya,” menurut kenyataan bersama mereka.

NGO terbabit menegaskan, daripada menyalurkan dana kepada program pembangunan sekolah atau kampung,

SPR seharusnya menumpukan usaha kepada pendidikan sivik rakyat mengenai hak mengundi dan tanggungjawab demokratik, selain memperkukuh latihan kepada petugas pilihan raya.

Mereka turut mencadangkan agar SPR dipisahkan daripada perkhidmatan awam Persekutuan bagi menjamin kebebasan institusi itu sepenuhnya serta melapor terus kepada Parlimen, bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti kini.

Program Madani yang diperkenalkan tahun ini menyalurkan dana bagi menaik taraf infrastruktur, sokongan pendidikan dan bantuan kewangan kepada komuniti sekolah serta kampung yang ‘diangkat’ oleh pelbagai agensi kerajaan.

SPR dilaporkan telah ‘mengangkat’ sebuah sekolah menengah di Segamat, Johor, dengan menyalurkan dana bagi program kurikulum, aktiviti kokurikulum dan peralatan ICT.

Selain itu, ia turut menyumbang kepada kerja-kerja infrastruktur di beberapa kampung di Batu Pahat sambil mempromosikan pendaftaran pemilih.

Walaupun niat program tersebut dianggap baik dari sudut kebajikan masyarakat, NGO berkenaan menegaskan bahawa penglibatan badan yang sepatutnya neutral seperti SPR dalam program kerajaan boleh menimbulkan persepsi berat sebelah serta menjejaskan kepercayaan awam terhadap integriti proses pilihan raya.

Sebelum ini, penglibatan Jabatan Audit Negara dalam program Angkat Madani juga pernah dipersoalkan oleh beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional di Dewan Rakyat.

Mereka menegaskan bahawa sebarang institusi berkecuali tidak wajar terlibat dalam program bercorak politik atau berpotensi menimbulkan konflik kepentingan. – HARAKAHDAILY 8/10/2025

- Advertisement -