
PASIR SALAK: Ahli Parlimen Pasir Salak, Ustaz Jamaludin Yahya menggesa pihak berwajib agar mengambil tindakan segera berhubung isu kelewatan bekalan baja padi bersubsidi yang dihadapi oleh para pesawah di Mukim Sungai Manik.
Ujarnya, masalah tersebut dibangkitkan sendiri oleh para petani semasa sesi ramah mesra dan ziarah pasukannya di kawasan sawah padi di mukim berkenaan semalam.
Menurut Ustaz Jamaludin, para pesawah meluahkan rasa resah kerana peruntukan baja subsidi yang sepatutnya sudah dibekalkan kepada mereka masih belum kunjung tiba.
“Masalahnya amat mendesak kerana para petani di sini telah menabur benih padi sejak 40 hari yang lepas. Mengikut amalan biasa, baja perlu ditabur selepas dua minggu benih disemai.
“Ini bermakna sudah berlaku kelewatan hampir sebulan, yang pastinya akan menjejaskan tumbesaran padi dan hasil tuaian kelak,” jelasnya menggesa tindakan pihak-pihak bertanggungjawab agar tidak berlengah dalam menyelesaikan isu tersebut.
Urusan tersebut berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Tegasnya, pembekalan baja perlu disegerakan bukan sahaja untuk petani di Mukim Sungai Manik, tetapi juga di seluruh negeri Perak yang mungkin berhadapan masalah sama.
Mengulas lanjut, beliau turut mengambil langkah awal dengan menghubungi Pengerusi PPK Mukim Sungai Manik bagi membincangkan perkara tersebut.
“Sebentar tadi saya ada menghubungi Pengerusi PPK Mukim Sungai Manik berkenaan perkara ini dan insya-Allah, saya telah diberi jaminan bahawa perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin.
“Saya ucapkan terima kasih atas maklum balas pantas pihak PPK dan berharap semua pihak yang terlibat dapat bekerjasama demi menjaga kebajikan para pesawah,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 30/9/2025











