
SEJAK kebelakangan ini, isu tanah semakin hangat diperkatakan.
Pada pandangan saya, salah satu cabang fiqh kontemporari yang wajar diberi perhatian dalam membincangkan hal ini ialah Fiqh al-Siyādah.
Fiqh al-Siyādah atau Fiqh Kedaulatan ialah cabang fiqh yang membahaskan hukum-hakam berkaitan kekuasaan politik, hubungan antarabangsa, kepimpinan umat dan pengurusan negara berdasarkan prinsip syariah, dengan tujuan menjaga keutuhan pemerintahan Islam serta menolak sebarang bentuk penjajahan atau campur tangan asing.
Dr. Muhammad Salim al-‘Awwa mendefinisikan al-Siyādah sebagai:
السَّيَادَةُ : السُّلْطَةُ العُلْيَا الَّتِي تَتَمَكَّنُ بِهَا الدَّوْلَةُ مِنْ تَحْقِيقِ إِرَادَتِهَا عَلَى أَرْضِهَا وَشَعْبِهَا دُونَ تَدَخُلٍ خَارِجِي
“Siyādah (kedaulatan) adalah kuasa tertinggi yang membolehkan sesebuah negara melaksanakan kehendaknya ke atas tanah dan rakyatnya tanpa campur tangan luar.”
Isu pengambilan tanah di Malaysia, seperti yang berlaku di Kampung Buah Pala, Kampung Baru dan terbaru Kampung Sungai Baru, memperlihatkan bagaimana konflik kepentingan pembangunan dan hak pemilik asal boleh mencetuskan ketidakadilan.
Walaupun Akta Pengambilan Tanah 1960 memberi kuasa kepada kerajaan, tafsiran ‘kepentingan awam’ yang terlalu longgar sering dipertikaikan, apatah lagi apabila pampasan tidak setimpal. Lebih malang apabila ia dimanipulasi sehingga menguntungkan kapitalis dan pemaju.
Dalam Islam, tanah bukan sekadar aset ekonomi, tetapi juga lambang maruah dan hak yang mesti dipelihara. Malahan ia menjadi punca seseorang ditimpa azab Allah.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ أَخَذَ مِنَ الْأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ لَهُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ
“Sesiapa yang mengambil tanah walau sedikit tanpa haknya, maka dia akan ditenggelamkan ke dalam tanah itu pada hari kiamat hingga tujuh lapis bumi.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 2454)
Fiqh al-Siyādah memberi kerangka untuk memahami persoalan ini.
Ia menegaskan bahawa kuasa pemerintah bukanlah mutlak, sebaliknya terikat dengan prinsip syariah, maqāṣid dan keadilan.
Ulama klasik seperti Imam al-Mawardi, Imam al-Ghazali dan Imam Ibn Taymiyyah menekankan bahawa maslahat rakyat adalah asas setiap keputusan, manakala sebarang bentuk pengambilan hak tanpa keadilan adalah penindasan.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
“Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.“ (Surah al-Shu‘arā’ ayat 183)
Oleh itu, Fiqh al-Siyādah sangat penting dalam konteks kontemporari kerana ia bukan sahaja mengawal legitimasi kuasa pemerintah, tetapi juga memastikan hak milik, maruah rakyat dan maslahat awam dipelihara secara seimbang.
Ia menjadi panduan kritikal untuk menangani isu-isu moden seperti pengambilan tanah agar pembangunan tidak mengorbankan keadilan sosial. Bagaimana? Penting bukan?
Saya mengesyorkan agar kita semua mendapatkan tulisan terkini daripada guru kita yang mulia, al-Fadhil Ustaz Azhar Yahya berjudul Fiqh al-Siyādah: Ketuanan, Kedaulatan dan Survival Ummah, sebagai rujukan utama.
Terdapat perbincangan praktikal tentang kes Kampung Sungai Baru, sorotan fatwa-fatwa dan cadangan dasar.
Selamat mengkaji dan mengaji untuk umat!
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 29/9/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











