WTD, WTC & TMM: Antara realiti dan gimik pelancongan

Siapa sebenarnya pelancong yang untung?

- Advertisement -

NEGERI Melaka sekali lagi diumumkan sebagai tuan rumah untuk acara berskala antarabangsa, World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025. Sekali imbas, ianya kelihatan seperti satu pengiktirafan besar kepada Melaka. Dan lebih ‘istimewa’ lagi, pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) juga akan diadakan bersekali.

Sebagai Ketua Pembangkang Negeri Melaka, saya menyambut baik segala usaha untuk memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Namun begitu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menimbulkan beberapa persoalan dan pertimbangan yang wajar demi memastikan perancangan ini benar-benar memberi impak yang positif kepada rakyat dan ekonomi negeri secara menyeluruh.

1. Pelancaran TMM 2026: Rasional di sebalik tarikh pelancaran.

Lazimnya, pelancaran Tahun Melawat Malaysia dilakukan pada penghujung tahun sebelum tahun sambutan, atau pada awal tahun tersebut bagi memastikan momentum promosi berada pada tahap optimum. Dalam hal ini, pelancaran TMM 2026 yang dijadualkan berlangsung lebih setahun lebih awal menimbulkan persoalan dari sudut keberkesanan serta rasional perancangan promosi pelancongan jangka panjang.

Adakah pelancaran awal ini dibuat demi menjimatkan kos melalui penganjuran bersama dengan WTD dan WTC?

Atau apakah perancangan ini dibuat secara strategik, atau sekadar menumpang majlis untuk menampakkan ‘kehebatan’ sambutan?

Jika tujuan utamanya untuk promosi jangka panjang, maka kita harap perancangannya juga teliti dan tidak ‘hangat-hangat program rasmi sahaja’.

- Advertisement -

2. Sasaran kehadiran 150 Menteri Pelancongan: Realistik atau retorik?

Kerajaan Negeri mensasarkan kehadiran 150 Menteri Pelancongan dari seluruh dunia. Sasaran ini, walaupun dilihat sebagai cita-cita besar, perlu diteliti secara realistik memandangkan situasi semasa geopolitik yang tidak menentu di banyak rantau dunia, termasuk konflik bersenjata dan ketegangan diplomatik.

Apakah bentuk persiapan kontingensi yang telah dirangka sekiranya sasaran ini tidak dapat dicapai? Dan bagaimana penilaian pulangan pelaburan (ROI) dibuat sekiranya jumlah kehadiran jauh lebih rendah daripada yang disasarkan?

Lebih membimbangkan, jika kehadiran sebenar nanti hanya 50, tetapi belanja sudah dibuat untuk 150.

Jangan sekadar cukup syarat untuk bergambar dan dikira sebagai ‘kejayaan global’.

3. Perbelanjaan acara: Keutamaan rakyat atau kos imej?

Tiada siapa mempertikaikan nilai acara pelancongan antarabangsa dalam merancakkan ekonomi. Namun, dalam situasi ekonomi negara yang mencabar, dengan hutang negara melebihi RM1.5 trilion, adalah wajar untuk bertanya:
Adakah perbelanjaan besar untuk acara ini benar-benar mendatangkan pulangan mampan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat?

Adakah pelaburan ini akan memberikan pulangan mampan kepada ekonomi pelancongan Melaka, atau hanya menjadi ‘festival tahunan’ yang penuh gimik tetapi kosong dari segi kesan sebenar?

Rakyat memerlukan jaminan bahawa dana awam digunakan secara berhemah dan bahawa faedah ekonomi tidak hanya tertumpu kepada sektor tertentu atau pihak-pihak terpilih.

4. Keterbukaan dalam penggunaan dana dan peruntukan.

Lebih penting, rakyat ingin tahu: berapa besar perbelanjaan yang telah dan akan digunakan untuk program ini?

Dan adakah pulangan yang dijanjikan berbaloi dengan pelaburan sedemikian?

Persoalan juga timbul sama ada bajet bagi TMM 2026 telah digabungkan atau digunakan bersama untuk WTD dan WTC 2025, memandangkan kesemua acara ini dijadualkan berlangsung serentak.

Sekiranya benar, adakah perkara ini telah diperjelaskan dalam dokumen belanjawan secara terperinci?

Rakyat berhak tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan, lebih-lebih lagi dalam acara berskala besar seperti ini?

5. Siapa yang mendapat manfaat?

Akhir sekali, soalan yang sering terlepas pandang dalam setiap penganjuran program mega ialah:
Siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada acara ini?

Adakah manfaatnya akan dirasai oleh rakyat tempatan, terutamanya peniaga kecil, pengusaha inap desa dan komuniti luar bandar?

Atau adakah keuntungan utama hanya berlegar di kalangan syarikat pengurusan acara dan penyedia perkhidmatan berprofil tinggi?

Adakah hotel bajet tempatan akan penuh, atau hanya hotel lima bintang yang dilanggan oleh delegasi antarabangsa?

Dan paling penting, apa faedah langsung kepada rakyat biasa di Melaka?

Kita tidak mahu program ini menjadi ‘tourism for the few, gimmick for the many’.

Sebagai Ketua Pembangkang, saya tidak menolak inisiatif pelancongan yang mampu membawa limpahan ekonomi kepada negeri. Namun saya juga percaya bahawa perbelanjaan awam harus diurus dengan telus, berhemah dan berfokus kepada impak jangka panjang untuk rakyat.

Saya menyeru agar setiap perbelanjaan awam bagi acara ini dinilai dengan kaca mata kepentingan rakyat, bukan sekadar kejayaan politik jangka pendek atau ‘glamour’ antarabangsa yang tidak menyentuh poket dan periuk nasi rakyat tempatan.

Saya berharap kerajaan negeri dapat memberikan penjelasan yang lebih teliti kepada rakyat mengenai perancangan, peruntukan serta impak sebenar penganjuran acara ini, agar keyakinan rakyat terhadap tadbir urus dan keutamaan kerajaan dapat terus dipelihara.

Kerajaan boleh berbangga dengan menjadi tuan rumah, tapi rakyat pula mahu tahu, bila mereka pula akan jadi tuan rumah kepada manfaat sebenar?

DR MOHD YADZIL YAAKUB
Ketua Pembangkang
Dewan Undangan Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 29/9/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -