Masa depan Sabah: Sabah tanpa rasuah (Siri 1)

- Advertisement -

MENJELANG pilihan raya, rakyat Sabah sekali lagi diberi kuasa besar untuk menentukan masa depan negeri tercinta ini. Kuasa undi bukan sekadar memilih wakil, tetapi pemimpin sejati dan berintegriti yang akan menentukan sama ada Sabah terus maju atau terus terikat dengan penyakit dan masalah lama; rasuah, salah guna kuasa dan pemimpin yang tidak amanah.

- Advertisement -

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa rasuah adalah racun yang mampu meranapkan sebuah negara. Lihatlah bagaimana Somalia menjadi antara negara termundur kerana sistem pemerintahannya penuh dengan rasuah dan pecah amanah.

Begitu juga dengan Zimbabwe, yang suatu ketika dahulu digelar ‘permata Afrika’, kini terjerumus dalam kemiskinan dan inflasi melampau akibat salah urus tadbir dan kerakusan pemimpin. Lebih dekat, negara jiran kita, Indonesia sebelum era reformasi, turut menyaksikan bagaimana rasuah mengekang pembangunan dan menyebabkan jurang kaya-miskin melebar dan besar.

Sabah tidak boleh mengulangi kesilapan sama. Jika pemimpin yang tidak amanah terus diberi ruang, maka negeri ini akan terus berada jauh di belakang, walaupun dikurniakan kekayaan alam yang melimpah ruah.

Hakikatnya, Sabah memiliki hasil bumi yang kaya; minyak, gas, hutan, laut, dan tanah subur. Namun, persoalan besar muncul, mengapa rakyat Sabah masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain? Antara jawapan utamanya adalah ketirisan dan kebocoran hasil negeri.

Projek-projek pembangunan sering tergendala atau tidak siap dengan baik, kerana sebahagian besar peruntukan bocor ke tangan pihak yang tamak. Infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, dan kemudahan pendidikan masih jauh daripada memuaskan. Ini bukan kerana Sabah tidak mampu, tetapi kerana amanah rakyat sering disalahgunakan.

Sejak dahulu, Sabah dipimpin oleh orang Sabah sendiri, bukan orang luar. Maka, jangan mudah menuding jari kepada pihak luar semata-mata apabila negeri ini masih mundur. Hakikat yang lebih pedih ialah kerosakan yang berlaku berpunca daripada orang Sabah sendiri yang rasuah, pecah amanah, dan mengkhianati mandat rakyat. Inilah kebenaran yang mesti diakui, agar rakyat tidak lagi tertipu dengan wajah lama yang kembali membawa janji palsu.

Menjelang pilihan raya, rakyat Sabah mesti membuka mata dan hati. Jangan lagi terpedaya dengan janji kosong atau sogokan sementara. Apa gunanya menerima bantuan sekali-sekala dan sekali beri, jika masa depan anak cucu tergadai akibat pemimpin yang rakus merompak hasil negeri?

Selain tawaran yang pernah saya utarakan iaitu BAIK (Berprinsip, Aman, Ikhlas, Konsisten), pemimpin yang perlu dipilih juga mesti memiliki ciri-ciri berikut:

i. Amanah – tidak mengambil hak rakyat untuk kepentingan peribadi dan kroni.

ii. Berintegriti – konsisten dalam memelihara prinsip akhlak, moral dan undang-undang.

iii. Peduli rakyat – mendahulukan kebajikan dan kemaslahatan rakyat.

Sabah mesti belajar daripada sejarah negara-negara yang hancur kerana rasuah. Negeri ini tidak boleh lagi ditinggalkan di tangga paling bawah dari segi pembangunan dan serba-serbi. Sabah bukanlah negeri yang miskin, ia hanya dipimpin dengan cara yang salah.

Sudah tiba masanya rakyat Sabah memilih dengan bijak, menolak pemimpin yang kotor dan memilih mereka yang benar-benar ingin membela rakyat. Hanya dengan cara itu masa depan Sabah akan lebih cerah, maju, dan setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Masa depan Sabah bergantung kepada keberanian rakyat untuk menolak rasuah dan memilih pemimpin berintegriti. Jangan biarkan negeri kaya-raya ini terus miskin kerana salah pilih pemimpin. Undi adalah kuasa rakyat, gunakanlah dengan bijak. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -