
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan pendirian menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dengan mengajak Umno bersama dalam Himpunan Mega Tolak URA yang akan diadakan pada 4 Oktober ini di Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Umno kerana pimpinan parti itu turut selari dalam isu menolak URA yang dibawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kepada rakan-rakan Umno, kita akan hantar surat rasmi kepada Umno untuk turut turun bersama dalam himpunan tolak URA ini kerana dilihat pimpinan-pimpinan Umno juga selari dengan isu ini.
“Mereka juga membantah RUU URA yang dibentangkan KPKT baru-baru ini dan insya-Allah kita akan susuli dengan surat rasmi kepada semua rakan-rakan parti politik yang berada dalam negara kita,” ujarnya dalam sidang media khas di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Umno dilihat antara pihak yang lantang menolak URA melalui jawatankuasa dipengerusikan Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Datuk Jo).
“Kita akan jemput Umno, sebab kalau ikut ‘timeline’ (garis masa) sekarang ini Umno antara yang paling kuat lantang pasal tolak URA melalui jawatankuasa ditubuhkan oleh Umno, melalui Datuk Jo sendiri yang telah diamanahkan sebagai pengerusi jawatankuasa untuk isu ini.
“Kalau kita tengok dari segi penerangan yang dibuat oleh Datuk Jo memang ternyata jelas URA ini perlu ditolak dan dibincang dahulu sebelum dilanjutkan.
“Sebab (Menteri KPKT) Nga Kor Ming sudah maklum bacaan kali kedua akan dibuat sejurus daripada pembukaan Parlimen pada hari Isnin, 6 September. Dan kami sangat kecewa di peringkat Pemuda dan saya rasa bukan sahaja di peringkat Pemuda, semua peringkat.
“Bagaimana Nga Kor Ming ini menggunakan semua instrumen kerajaan untuk tidak menjelaskan secara terperinci tentang URA yang sedang menjadi persoalan besar pada rakyat.
“Dia gunakan media rasmi KPKT, dia gunakan platform rasmi seperti Bernama, mereka menghimpunkan wartawan yang mungkin berpihak kepada mereka sahaja.
“Dia gunakan segala dana dan juga jentera kerajaan untuk hanya menceritakan apa yang mereka nak. Tapi tentang isu ambang yang dipersetujui, isu tentang ‘crossover’ kerja antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat semua tidak dijelaskan.
“Jadi kita bertegas dan kita sangat kecewa dengan tindakan menteri ini. Dan saya rasa ini bukan RUU URA. Ini adalah RUU Nga Kor Ming,” kesalnya.
Bersama pelbagai cara digabung bantah URA
Hafez dalam pada itu menegaskan, Pemuda PAS Malaysia sedia bersama dengan mana-mana pihak termasuk Umno dalam menggerakkan desakan rakyat menolak URA.
“Dalam himpunan itu kita ada banyak jurucakap insya-Allah dan jurucakap itu juga adalah jurucakap yang betul-betul yang kena dengan kenyataan yang kita bawa ini.
“Macam mana konvensyen dibuat oleh Umno itu kita juga telah mengeluarkan kenyataan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat. Kita juga bersama. Dan kita menanti untuk dijemput dan bersedia Pemuda PAS Malaysia juga bersedia untuk turun bersama.
“Konvensyen pun kita bersama, bincang secara ilmiah, himpunan rakyat juga kita kena gerakkan. Sebab kita tengok Menteri KPKT sangat tergesa-gesa dalam isu ini. Jadi desakan kena daripada semua peringkat. Kalau kita bincang dalam Dewan (Parlimen) saja, mungkin mereka tak dengar.
“Tapi bila rakyat turun ke padang, turun bawa gelombang ini saya yakin insya-Allah dengan himpunan yang Umno cadangkan (iaitu mengadakan) konvensyen tersebut digabungkan dengan Pemuda PAS punya gerakan ini.
“Yang paling penting, RUU URA ini wajib ditolak dan tidak boleh diluluskan di Parlimen. Semua cara kena buat. Dan ini cara yang terbaik saya kira untuk kita gabungkan semua kekuatan.
“Jadi terima kasih kepada Umno yang turut memberi tekanan kepada KPKT Nga Kor Ming dan kami juga akan main peranan kami untuk menggerakkan rakyat. Insya-Allah mudah-mudahan benda ini berjaya,” ulasnya.
Tidak patut dibentangkan
Khairul Nadzir menambah, URA tidak sepatutnya dibentangkan kerana akta sedia ada sudah mencukupi.
“URA-URA sepatutnya tak perlu ada. Akta sedia ada ini sebenarnya dah cukup. Strata dan sebagainya dah ada. URA ini sepatutnya penambahbaikanlah apa semua itu adalah agenda yang kita tak nampak.
“Kerana disebut oleh Timbalan Presiden PAS tentang satu ketika dulu ketika Akta ISA diperkenalkan hanya untuk lawan komunis. Tapi banyak detail tak dijelaskan dalam akta tersebut, maka ada manipulasi yang akan berlaku.
“Saya yakin URA pun akan berlaku benda yang sama. Jadi URA tidak sepatutnya dibentangkan. URA sepatutnya dibatalkan. Dan URA ini akan membawa satu beban yang cukup besar untuk budak-budak muda macam kita orang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2025











