
KUNAR, Afghanistan: Yayasan Amal Malaysia (YAM) telah menggerakkan misi bantuan kecemasan untuk mangsa gempa bumi di Wilayah Timur negara ini sejak Jumaat minggu lepas.
Naib Presiden YAM, Zulkifli Baharom mengetuai pasukan bersama dua anggota relawan itu turut turun ke lokasi penempatan sementara mangsa gempa dari Lembah Deewagal.
Kawasan tersebut terjejas teruk di Kunar yang mana beberapa kampung ranap sepenuhnya dalam insiden gempa bumi berkekuatan 6.0 skala Richter di Kunar pada awal pagi 1 September lalu.
Gempa bumi yang turut menjejaskan Wilayah Nangarhar dan Laghman itu mengorbankan lebih 2,200 mangsa dan ribuan cedera dengan lebih 80,000 penduduk terjejas selepas rumah mereka rosak dan ranap sepenuhnya.
Banyak kawasan terputus hubungan dengan Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan (EIA) diterajui Taliban terpaksa menggunakan helikopter melalui jalan udara untuk menyelamatkan mangsa gempa dan menghantar bantuan.
Setakat ini, YAM telah mengagihkan bantuan pek makanan untuk tempoh sebulan kepada 270 keluarga bernilai USD50 setiap satu di penempatan sementara di daerah Sauki, Kunar.
Selain itu, delegasi YAM turut mengagihkan bantuan makanan ‘hotmeal’ kepada 900 mangsa gempa yang terjejas di beberapa kem penempatan sementara.

Zulkifli berkata bantuan itu adalah bantuan fasa awal kepada penduduk yang terjejas dan pihaknya membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang dana membantu mangsa gempa memerlukan.
“Kita sasarkan untuk capai sekurang-kurangnya 1,000 pek makanan kepada mangsa gempa. Jumlah ini amat kecil berbanding keperluan sebenar lebih 80,000 penduduk yang terjejas,” katanya.
Zulkifli yang juga Pengerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Kedah turut membawa sama dan mengedarkan 2,000 al-Quran wakaf yang disumbangkan rakyat Malaysia.
Naskhah tersebut adalah bahagian daripada Kempen Wakaf Sejuta Al-Quran yang dijalankan sejak beberapa tahun lepas bagi membantu memperkasakan generasi al-Quran dalam kalangan penduduk Negara memerlukan di benua Asia dan Afrika.
Pasukan relawan Amal Malaysia akan berada di Afghanistan selama seminggu bagi misi bantuan kecemasan gempa bumi Kunar yang juga misi kemanusiaan konsistennya sejak pertukaran kerajaan di Afghanistan pada September 2021.
Sebarang bentuk sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5521 2560 1624 Yayasan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 19/9/2025












