Himpunan Mega Tolak URA di KL, Sabtu 4 Oktober ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan pendirian konsisten menolak keras Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dirangka serta akan dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, susulan pengumuman Ketua Pemuda PAS dalam Muktamar PAS Pusat, seluruh kekuatan jentera Pemuda PAS akan digerakkan ke Himpunan Mega Tolak URA pada Sabtu, 4 Oktober 2025 di Ibu Negara.

“Pemuda PAS Malaysia juga menggesa kepada seluruh jentera Pemuda PAS di negeri-negeri dan di kawasan-kawasan untuk mobilisasi rakyat hadir ke himpunan tolak URA ini.

“Seluruh Pemuda PAS di setiap negeri dan kawasan diarahkan untuk menganjurkan siri penerangan serta jelajah ceramah Tolak URA bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai keburukan pelaksanaan URA,” ujarnya dalam kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu berkata, Pemuda PAS turut membuat jemputan terbuka kepada semua parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI).

Ia jelasnya adalah ajakan kepada mereka yang menolak URA untuk bersama dalam Jawatankuasa Khas Himpunan bagi menjayakan bantahan berkenaan.

Tegasnya, rakyat perlu bangkit bersama menyatakan bantahan terhadap RUU URA yang dibawa DAP kerana selagi ia berat sebelah, hanya memihak kepada pemaju dan tidak melindungi kepentingan penduduk.

“Pemuda PAS akan terus menentangnya dengan apa jua cara yang sah, selagi tidak bertentangan dengan undang-undang dan kerangka demokrasi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -