
SIK: Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan kenyataan Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar terhadap Muktamar PAS ke-71 hanya menggambarkan wajah sebenar seorang politikus yang kering idea.
Beliau berkata, serangan itu juga menunjukkan kehilangan arah dan masih tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau sudah ditolak rakyat Kedah, selain meleset dan mendedahkan kelemahan parti diwakilinya.
“Mahfuz cuba menempelak PAS kononnya hanya beretorik untuk memimpin negara, sedangkan PAN sendiri parti kelam masa depan, lahir daripada kekecewaan kalah dalam parti, dan kini sekadar menjadi penumpang kepada kereta rosak DAP dan PKR.
“Dalam PRU15 lalu, parti PAN hanya menang lapan kerusi Parlimen daripada 222 yang dipertandingkan iaitu angka cukup jelas menunjukkan rakyat tidak melihat masa depan bersama PAN,” ujarnya dalam kenyataan.
Ahmad Tarmizi berkata, dakwaan Mahfuz terhadap pentadbiran PAS di negeri-negeri juga tidak berasas kerana fakta menunjukkan negeri-negeri State Government (SG4) (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) semakin menyerlah sebagai blok strategik pembangunan.
“Contohnya, Kedah merekodkan RM10.6 bilion pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun 2023, antara yang tertinggi di Malaysia, hasil pembangunan kawasan seperti Kulim Hi-Tech Park dan Zon Ekonomi Sempadan.
“Terengganu pula mencatatkan peningkatan hasil petroleum sehingga mencecah lebih RM2.5 bilion setahun, membolehkan pembangunan rakyat dipergiatkan. Ini bukan retorik, tetapi fakta yang membuktikan kecekapan pentadbiran PAS,” terangnya.
Beliau turut mempersoalkan pencapaian menteri-menteri PAN dalam Kerajaan Pusat yang menurutnya jelas menunjukkan kelemahan.
“Sebagai contoh, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah PAN gagal menstabilkan harga beras dan padi, menyebabkan petani semakin tertekan.
“Kementerian Alam Sekitar dan Air pula gagal mengatasi masalah pencemaran dan bekalan air di beberapa negeri. Kos sara hidup yang melonjak tidak pernah ditangani secara tuntas.
“Rakyat tahu, kegagalan ini datang daripada menteri PAN yang lemah dan tidak kompeten,” tempelaknya.
Beliau juga menyifatkan Mahfuz seorang yang tidak mempunyai prinsip jelas, oleh itu seorang yang tidak konsisten dan oportunis tidak layak bercakap mengenai ‘kepimpinan stabil’ kerana diri sendiri gagal menunjukkan istiqamah dalam perjuangan politik.
Beliau berkata, Mahfuz juga cuba memperlekeh Kedah sedangkan negeri itu di bawah kepimpinan PAS kini berada di landasan pembangunan pesat, berani memperjuangkan isu rakyat, mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu serta berjaya menarik pelaburan strategik.
“Bandingkan dengan Perak, di mana beberapa projek rakyat terbengkalai akibat kelemahan pentadbiran negeri.
“Atau Negeri Sembilan, yang pernah diuar-uarkan sebagai ‘hab pertanian moden’ tetapi kini berdepan masalah hasil pertanian yang merosot serta isu belia berhijrah keluar kerana peluang pekerjaan yang terbatas.
“Negeri yang dipimpin oleh gabungan termasuk PAN masih bergelut mencari identiti, sedangkan SG4 yang ditadbir PAS sudah menunjukkan hasil nyata,” terangnya.
Menurut Ahmad Tarmizi, PAS bukan sekadar bermimpi untuk berkuasa, sebaliknya telah membuktikan rekod pentadbiran yang bersih, stabil dan berpihak kepada rakyat.
“Sebaliknya, PAN hanyalah parti kecil tanpa arah, yang hidupnya bergantung pada ihsan DAP dan PKR. Nasihat saya kepada Mahfuz Omar, cerminlah diri sendiri sebelum mengkritik orang lain.
“Rakyat Kedah dan Malaysia sudah tahu menilai siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa pula yang sekadar mencari pentas untuk menghidupkan karier politik yang sudah malap,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2025











