
SHAH ALAM: Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai menyifatkan idea memansuhkan matrikulasi sebagai dangkal, zalim dan antikeadilan sosial.
Beliau berkata, melalui agenda meningkatkan mobiliti sosial dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) (2026-2030), kerajaan telah berjanji memberikan komitmen meningkatkan keberhasilan Bumiputera yang lebih bermakna dengan strategi meneruskan agenda pemerkasaan sedia ada.
Menurutnya, idea memansuhkan matrikulasi bermakna menafikan komitmen RMK13 kerana ia menutup salah satu laluan utama yang membekalkan pelajar Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan profesional Bumiputera untuk ekonomi masa depan.
Menurutnya, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penyertaan Bumiputera dalam bidang profesion seperti arkitek, peguam dan akauntan masih di bawah paras 50 peratus.
Statistik Bumiputera 2023 pula dedahnya merekodkan bidang akauntan hanya 31.8 peratus (12,222 orang), peguam 38.2 peratus (10,057 orang) dan arkitek 41.2 peratus (1,013 orang).
“Pada masa sama, laporan Survei Gaji & Upah 2022 menunjukkan sebahagian besar tenaga kerja Bumiputera masih dalam kategori bukan mahir iaitu sebanyak 62.2 peratus pekerja separuh mahir dan 8.7 peratus pekerja berkemahiran rendah.
“Hanya 2.7 juta (29.1 peratus) Bumiputera sebagai pekerja mahir berbanding 9.25 juta keseluruhan yang bekerja. Jurang ini membuktikan bahawa akses kepada profesion berkemahiran tinggi oleh graduan Bumiputera masih tertinggal di belakang.
“Matrikulasi adalah strategi kritikal dan instrumen keadilan sosial bagi mengimbangi jurang pendidikan akibat faktor sejarah, ekonomi dan lokasi geografi untuk mereka bersaing dengan adil dalam sistem pendidikan tinggi,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, idea dan gerakan untuk memansuhkan matrikulasi adalah zalim, anti-keadilan sosial serta menafikan akses ribuan pelajar luar bandar, B40 dan Bumiputera untuk mendapat peluang setara ke universiti.
“Jika benar mahu mengangkat idea kesamarataan, lebih baik pihak UMANY fokus bawa idea untuk hapuskan dahulu SJKC (Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina) dan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) berbanding idea dangkal untuk menghapuskan matrikulasi,” bidasnya.
Muhammad Faizzuddin turut mencadangkan agar kerajaan terus memperkasa matrikulasi dengan meningkatkan kapasiti, kualiti pelajaran dan memperbanyakkan jumlah pengambilan pelajar dari tahun ke tahun.
Ia jelasnya agar agenda melahirkan lebih ramai graduan Bumiputera dalam bidang STEM dan profesion kritikal dapat direalisasikan. – HARAKAHDAILY 15/9/2025











