Tanah Rizab Melayu tidak boleh ditukar status – Azman

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tanah Rizab Melayu (TRM) dan Tanah Pegangan Melayu (TPM) tidak boleh ditukar status kepada Tanah Pegangan Bebas melalui sebarang urus niaga seperti pindah milik tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, status tanah tersebut hanya boleh berubah sekiranya melibatkan pengambilan balik tanah (APT) untuk tujuan pembangunan.

- Advertisement -

“Sekiranya APT melibatkan Tanah Rizab Melayu maka kena ganti balik.
Mudah untuk faham, Tanah Rizab Melayu atau Tanah Pegangan Melayu tak boleh dijual atau dipindah milik kepada individu bukan Melayu atau syarikat bukan Melayu,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut memperluas kawasan TRM daripada hanya 118 hektar di Kuala Berang sebelum 2018 kepada lebih 2,000 hektar di seluruh negeri kini.

Selain itu, Azman berkata, lebih 40,000 lot tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) juga telah diagihkan kepada rakyat, yang kesemuanya berstatus TRM atau TPM sekali gus meningkatkan jumlah keluasan tanah tersebut.

“Projek-projek pembangunan di Terengganu tak banyak yang melibatkan Tanah Rizab Melayu atau Pegangan Melayu kecuali pengambilan balik tanah untuk jajaran ECRL atau talian voltan tinggi TNB.

“Di sinilah mungkin berlaku sedikit pengurangan Tanah Rizab Melayu atau Pegangan Melayu tetapi ia diimbangi semula dengan pewartaan kawasan TRM dan TPM yang baru,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2025

- Advertisement -