Pesta Air angkat Perlis ke medan antarabangsa

Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid yang berkenan mencemar duli bagi bersama-sama meraikan acara penuh bermakna ini.
- Advertisement -

KANGAR: Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 telah dirasmikan secara gilang-gemilang sebagai sebuah acara bertaraf antarabangsa yang menjadi mercu tanda baharu dalam kalendar pelancongan Negeri Perlis di Tapak Menteri Besar Incorporation (MBI), Kuala Perlis, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid yang berkenan mencemar duli bagi bersama-sama meraikan acara penuh bermakna ini.

- Advertisement -

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan isteri, serta Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail.

Turut bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chuaa Choon Hwa, serta barisan Exco Kerajaan Negeri, penasihat undang-undang negeri, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat serta wakil pelbagai agensi.

Acara tahunan yang dahulunya dikenali sebagai Pesta Air Kuala Perlis kini diberi wajah baharu dengan jenama ‘Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis’, sekali gus mengangkat martabatnya ke peringkat dunia.

Penganjuran kali ini melibatkan kerjasama erat Persatuan Khazanah Kuala Perlis, Kerajaan Negeri Perlis dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perlis, serta berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 September 2025.

Objektif utama penganjuran adalah mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan air bersempena Tahun Melawat Perlis 2024–2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping bertepatan dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Raja Perlis.

Antara acara kemuncak ialah Perlawanan Perahu Naga Antarabangsa yang menghimpunkan penyertaan dari negara-negara jiran dan antarabangsa termasuk Thailand, Brunei, Filipina, serta pasukan ekspatriat dari Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Sebanyak 55 pasukan Perahu Naga menyertai pertandingan, merangkumi jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi, sementara 15 kampung sekitar Kuala Perlis turut serta dalam kategori Perahu Tradisional.

Detik bersejarah tercipta apabila Perahu Diraja Jarum Emas Putra Jamalullail berlayar masuk di tengah pancutan air berlampu di muara Sungai Kuala Perlis sebagai simbolik perasmian oleh Tuanku Raja Perlis dan menjadi tumpuan ribuan mata, mencerminkan kegemilangan dan keunikan pesta air kali ini.

Selain itu, pelbagai acara sukan air dan sukan rakyat diadakan, termasuk Pertandingan Perahu Panjang, Perahu Berhias, Pukul Bantal, serta persembahan pentas seperti tarian tradisional, kebudayaan, kugiran muzik dan persembahan artis jemputan.

Penganjuran tahun ini turut bertepatan dengan sambutan Hari Sungai Sedunia (World Rivers Day) yang diraikan pada Ahad terakhir bulan September setiap tahun.

Antara inisiatif yang dijalankan termasuk program gotong-royong membersihkan sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian sungai dan sumber air.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan atas keberangkatan Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan ke majlis perasmian tersebut.

“Alhamdulillah, kita mengiringi Tuanku berdua dalam majlis penuh keberkatan ini. Menjunjung kasih atas limpah perkenan baginda yang sudi mencemar duli. Keberangkatan ini menjadi sumber kekuatan serta inspirasi kepada seluruh rakyat Negeri Perlis,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Exco Pelancongan Negeri, Abu Bakar Hamzah atas kejayaan menganjurkan majlis ini yang sekali gus membuktikan Perlis mampu menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.

Majlis malam perasmian yang penuh warna-warni ini bukan sekadar pesta pelancongan, tetapi juga simbol perpaduan masyarakat, lambang kebanggaan negeri, serta wadah memperkenalkan Perlis ke persada dunia.

Dengan penglibatan masyarakat tempatan, penyertaan antarabangsa serta sokongan padu kerajaan, Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 diyakini akan terus menjadi acara ikonik, memperkukuh imej Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan air dan budaya di rantau ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2025

- Advertisement -