
KUANTAN: Selepas 68 tahun negara mencapai kemerdekaan, isu pemilikan tanah dalam kalangan generasi muda dilihat semakin membimbangkan apabila harga yang terlalu tinggi menyebabkan ia hampir mustahil untuk dimiliki.
Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka dan Alam Sekitar Pemuda PAS Negeri Pahang, Khairul Izwan Ghazali berkata, tanah seharusnya menjadi asas kebebasan rakyat, tempat berpijak serta warisan keluarga, namun realiti hari ini menyaksikan generasi muda semakin terpisah daripada aset tersebut.
“Apa yang kita saksikan hari ini sungguh menyedihkan. Mereka bekerja keras, berkorban masa dan tenaga, tetapi tanah yang sepatutnya menjadi hak rakyat kini semakin mustahil dimiliki.
“Di mana-mana, anak muda hanya mampu mengeluh. Gaji permulaan sekitar RM2,500 sebulan langsung tidak sepadan dengan harga tanah yang kini mencecah ratusan ribu, bahkan jutaan ringgit di kawasan bandar. Apatah lagi golongan yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Tanah yang dahulu cukup luas untuk mendirikan rumah dan bercucuk tanam, kini bertukar menjadi deretan bangunan mewah yang hanya mampu dipandang dari jauh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada kelemahan kerajaan dalam menyediakan pelan pembangunan yang adil dan berpihak kepada rakyat kecil.
Katanya, projek pembangunan lebih banyak memberi keuntungan kepada pemaju besar berbanding rakyat biasa, manakala undang-undang seperti cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) pula menunjukkan suara rakyat semakin diketepikan.
“Selepas lebih enam dekad Merdeka, masih tiada rancangan jangka panjang yang benar-benar menjaga hak anak muda terhadap tanah. Tiada dasar jelas untuk menjamin setiap generasi akan datang memiliki walau sedikit tanah untuk berpijak.
“Apa yang ada hanyalah pembangunan bercampur dengan janji, tetapi tidak pernah menjawab keresahan sebenar rakyat,” ujarnya.
Khairul Izwan berkata, apa yang berlaku bukan disebabkan golongan muda tidak berusaha, sebaliknya mereka berdepan beban kos sara hidup, hutang pendidikan serta harga tanah tidak terkawal.
“Bayangkanlah, betapa peritnya hidup anak muda yang membesar di tanah air sendiri, tetapi tidak mampu memiliki tanahnya. Mereka membayar sewa setiap bulan, berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain, tanpa ada ruang tetap untuk membina keluarga.
“Generasi ini bukan malas, bukan tidak berusaha. Mereka berkerja siang malam, menanggung hutang pendidikan, membayar kos sara hidup yang melambung. Namun kerana kegagalan perancangan kerajaan, tanah sebagai aset paling asas, kini semakin hilang dari genggaman mereka,” katanya.
Beliau berkata, jika trend ini berterusan, generasi muda Malaysia berisiko menjadi ‘generasi tanpa warisan’ yang tidak mempunyai hak berpijak di tanah air sendiri.
“(Setelah) 68 tahun Merdeka, sepatutnya tanah menjadi simbol kebebasan generasi baru. Tetapi apa yang terjadi ialah generasi muda kini hidup dalam ketakutan kehilangan hak berpijak di bumi sendiri.
“Mereka tidak lagi melihat masa depan dengan tanah sebagai warisan, sebaliknya hanya sebagai beban mimpi yang mustahil digapai.
“Jika keadaan ini berterusan, jangan terkejut andai suatu hari nanti, rakyat muda Malaysia hanya menjadi penyewa di tanah air yang merdeka atas kertas. Tetapi bukan merdeka dalam kehidupan sebenar,” katanya. – *HARAKAHDAILY 2/9/2025*











