PAS dan Tabung Haji

- Advertisement -

MINGGU lepas kita dikejutkan dengan maklumat berkenaan ‘rebranding’ Tabung Haji (TH) yang telah dilakukan menggunakan hampir RM20 juta kos keseluruhan. Dua kali terkejut apabila mantan Timbalan Menteri agama, Marzuk Shaari berkata syarikat yang berjaya mendapatkan kontrak itu adalah syarikat bukan Islam.

Lalu dibalas oleh Menteri Agama bahawa data itu salah, hanya RM6 juta sahaja dibelanjakan oleh TH untuk penjenamaan semula. Malah diserang kembali Menteri Agama terhadap mantan Timbalan Menteri Agama, bahawa ada 23 syarikat bukan Islam yang telah mendapat kontrak sewaktu Perikatan Nasional (PN) berkuasa dahulu. Sehingga Marzuk diarah keluar dewan selama dua hari.

Datuk Idris Ahmad selaku mantan Menteri Agama meminta senarai syarikat itu kerana menurut beliau, perkara itu tiada dalam maklumannya. Apabila diserahkan senarai nama syarikat itu, ternyata ada syarikat yang menjadi milik orang Islam.

- Advertisement -

Dan isu asal perbelanjaan penjenamaan semula itu seperti mahu dilenyapkan apabila ia dikatakan sebagai dokumen sulit dan Ahli Parlimen boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi. Kemudian terdapat tuduhan yang mendakwa PAS mengajak ahli TH untuk mengeluarkan simpanan mereka atas isu ini. Dan menteri ugut mahu siasat.

Kisah berkenaan pertembungan pihak berkuasa agama dengan PAS  ini bukan perkara yang baharu. Ia sudah berlaku banyak kali kerana PAS tahu pasal agama, terkadang lebih tinggi ilmu dan kuasanya daripada pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga hal berkaitan agama seperti JAKIM.

Akan tetapi sehebat mana sekalipun perbalahan PAS dengan pihak berkuasa agama ini, ia sentiasa diiringi dengan kewarasan kerana majoriti pegawai ini adalah rakan-rakan PAS dan juga sebagai orang Islam, kita ada iman yang menjaga perbuatan baik buruk kita.

Tidak seperti manusia yang tidak dididik dengan iman yang baik atau jika sudah dididik dengan keimanan, tetapi masih mahu melampaui batas sebagaimana bekas Menteri Ekonomi yang sewaktu menjadi pembangkang, pernah mengajak pendeposit untuk mengeluarkan simpanan mereka.

Jadi tuduhan yang kurang akal kepada PAS yang menghasut rakyat mengeluarkan simpanan dari TH dan Akta Rahsia Rasmi yang mereka musuhi dahulu, hanya membuktikan ketakutan PH jika sesuatu yang besar berjaya dibongkarkan. Dalam masa yang sama, sepatahpun mereka tidak sebut kesan hasutan Rafizi dahulu kepada TH.

Suka aku berkongsi satu cerita berkenaan dengan seorang pimpinan PAS Pusat sekitar tahun 2005 dahulu. Beliau ada menceritakan kepada aku berkenaan satu tindakan yang sangat salah oleh TH dan ada bukti secara bertulis berkaitan hal itu. Aku menjadi teruja kerana ini adalah peluang untuk aku sebarkan kejahatan Umno dalam menjaga TH. Isu itu memang besar.

Aku meminta surat itu untuk aku baca dan tulis. Beliau berjanji akan memberikannya kepada aku. Selang beberapa lama aku bertanyakan lagi mengenai surat itu, beliau menjawab buku itu ada di rumahnya di Kuala Lumpur. Kemudian jawapannya sentiasa berubah. Maka fahamlah aku, beliau tidak mahu aku mendapat surat itu dan memperbesarkannya.

Beliau juga tidak pernah dalam ceramahnya menyebut isu itu kerana beliau faham akan kesannya. Akhirnya aku faham akan akhlak Islam yang ada dalam diri beliau. Beliau mempunyai ramai kawan-kawan di JAKIM sebelum menyertai PAS. Jadi melalui kenalan beliau isu ini diselesaikan secara dalaman sahaja.

Aku hanya terfikir, jika hal seperti ini dapat kepada PH dan Umno, kau rasa runtuh atau tidak TH? Sedangkan yang tiada diada-adakan, apa lagi yang sedia ada. Habis dia londeh sampai tak ada tinggal apa-apa. Tetapi banyak juga isu yang mereka sendiri yang terlondeh dan disaman.

Maka fahamlah kita kenapa antara sifat-sifat munafik itu adalah apabila berkelahi, mereka melampaui batas. PAS alhamdulillah sentiasa mengamalkan ayat 61 dari surah al-Anfal:

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Apa sahaja yang menuju perdamaian yang membawa kebaikan kepada Islam, PAS akan sanggup, walau dengan sesiapapun. Jadi tidak perlulah memfitnah PAS akan menghasut pendeposit untuk mengeluarkan simpanan mereka dari TH. Itu bukan sikap PAS.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 27/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -