
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk tidak hanya menumpukan kepada usaha menggalakkan pekebun kecil di luar bandar mengusahakan tanaman kontan, tetapi turut mewujudkan pasaran tetap dan jaminan harga yang stabil bagi hasil tanaman mereka.
Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) berkata, isu utama yang dihadapi pekebun kecil di kawasannya bukanlah soal untuk menanam, tetapi bagaimana memastikan hasil tanaman seperti pisang, nanas, serai dan jagung mempunyai pasaran terjamin.
“Isu utama pekebun kecil di luar bandar seperti Baling bukan saja soal mengusahakan tanaman kontan, tetapi juga bagaimana memastikan hasil tanaman mereka ada pasaran dan mendapat harga yang stabil.
“Apakah peranan kerajaan dalam mewujudkan pasaran tetap atau penubuhan pusat pengumpulan bagi menjamin pendapatan pekebun kecil dan juga pengusaha tanaman?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperkenalkan beberapa program untuk membantu pekebun kecil.
Menurutnya, melalui program agromakanan, RISDA bukan sahaja memberi khidmat nasihat dan bantuan peralatan, tetapi juga memastikan tanaman yang dipilih mempunyai kadar pasaran tinggi.
“RISDA juga mempunyai hubungan dengan agensi-agensi pemasaran, misalannya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Perseketuan (FAMA), begitu juga dengan pasar-pasar yang ada di dalam negara kita khasnya untuk tanaman-tanaman seperti serai dan sebagainya,” jelas beliau.
Terdahulu dalam soalan asal, Hassan meminta pihak Kementeri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan usahanya dalam mengenal pasti dan menyusun semula lot-lot kebun getah terbiar milik pekebun kecil di Baling.
Serta soalnya, sejauh mana pendekatan integrasi tanaman kontan telah dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan pekebun. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











