Dengarlah luahan anak seperti suara Zara kepada ibunya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menzahirkan pengajaran besar yang boleh diambil daripada audio perbualan terakhir arwah adik Zara Qairina Mahathir bersama ibunya yang tular baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia itu berkata, audio yang memilukan itu memberi mesej mendalam bahawa anak-anak sangat memerlukan ibu bapa untuk mendengar isi hati, luahan dan cerita mereka.

“Ya. Mendengar bukan hanya dengan telinga, tetapi dengan hati. Mendengar bukan hanya pada apa yang diungkapkan, tetapi dengar juga apa yang tidak terucap di bibirnya,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Ustaz Afnan berkata, ketika anak-anak melangkah ke alam persekolahan, terlalu banyak perkara yang mereka mahu kongsikan dengan ibu bapa.

“Cerita dengan kawan-kawan, siapa cikgu yang mereka sayang, apa yang mereka belajar, apa yang mereka makan, apa kesusahan yang mereka lalui, apa yang membuatkan mereka gembira, sedih, bahagia. Kalau boleh semuanya mereka mahu ceritakan pada kita.

“Kenapa? Kerana kitalah ‘kawan’ mereka yang pertama dalam dunia ini. Kitalah orang pertama yang mereka kenal dalam dunia ini. Kitalah kekasih pertama mereka.

“Orang pertama yang jadi cinta hati mereka, tempat mereka menyemai benih cinta dan menumpang teduh di bawah rimbunan kasih kita,” jelas beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Alor Setar itu menegaskan, setiap kali anak datang untuk bercerita, ibu bapa seharusnya memberi perhatian penuh.

“Letaklah telefon kita di tepi buat seketika. Lihatlah wajahnya, dengarlah setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Walaupun mungkin ceritanya itu tidak sesuai dengan masa dan keadaan kita, dengarlah dahulu.

“Jika perlu respon segera, beri respon yang sesuai. Jika belum sesuai untuk kita respon, beritahu padanya, nanti Baba atau Mama jawab ya. Sekarang Baba atau Mama sedang buat kerja sikit. Nanti dalam 15 minit lagi Baba atau Mama jawab ya,” nasihatnya.

Katanya, walaupun tidak mampu memberi respon sepenuhnya, tindakan kecil itu sudah cukup membahagiakan anak-anak kerana mereka merasakan diri mereka masih diberi perhatian serta disayangi.

“Jawablah panggilannya, responlah kata-katanya. Anak kita pasti bahagia. Itulah yang Zara dan ibunya pamerkan pada kita,” terangnya.

Ustaz Afnan turut mengingatkan supaya para ibu bapa menghargai setiap detik bersama anak-anak mereka.

“Nikmatilah setiap detik waktu yang kita ada bersama anak kita. Salam peluklah anak kita setiap detik permulaan pertemuan dan perpisahan. Boleh jadi itulah detik-detik terakhir dirinya bersama kita.

“Hargailah setiap patah perkataan yang anak kita ungkapkan. Boleh jadi itulah kata-kata terakhirnya untuk kita di alam dunia ini, sebelum dia atau kita kembali padaNya buat selama-lamanya,” nasihatnya lagi.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada arwah adik Zara yang meninggalkan pengajaran besar buat masyarakat.

“Terima kasih Zara. Usiamu masih muda. Namun banyak yang dunia belajar dari kisahmu. Kematianmu menghidupkan jiwa kami semua. Al-Fatihah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -