Rasuah ATM, dron asing jejas pertahanan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan negara termasuk kebocoran maklumat pertahanan.

- Advertisement -

Termasuk tegasnya, isu rasuah dalam kalangan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pencerobohan dron oleh warga asing serta skandal-skandal yang melibatkan institusi keselamatan negara.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, isu yang berlaku sejak kebelakangan ini tidak boleh dianggap ringan kerana ia menyentuh soal maruah serta kedaulatan negara.

“Apabila kita menyebut pertahanan, ia bukan sahaja ancaman dari luar, tetapi juga masalah dalaman. Pada 14 Ogos lalu, dua warga China ditahan ketika menerbangkan dron di kawasan larangan berdekatan Wisma Pertahanan.

“Pada tarikh sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melumpuhkan kegiatan penyeludupan didalangi pegawai tinggi ATM yang membocorkan maklumat operasi ketenteraan.

“Jumlah sogokan antara RM30,000 hingga RM50,000 setiap trip, ini amat serius. Belum lagi kita sebut penahanan pegawai di Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan isu taraf warganegara.

“Keselamatan negara sedang diancam secara nyata,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli dalam kesempatan tersebut turut menyentuh isu skandal besar yang melibatkan gugatan ke atas ahli keluarga kalangan pemimpin di pihak kerajaan sendiri.

“Belum lagi kita cerita tentang kes anak Ahli Parlimen Pandan yang diserang, dan beliau sendiri menyebut ia berkaitan skandal yang sedang didedahkan. Ini skandal besar, kerana ia melibatkan anak sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyatakan sama ada tahap indeks ancaman keselamatan negara telah dinaik taraf daripada fokus ‘ekstra’ kepada bentuk ancaman baharu seperti ‘insider trade’ atau ‘hybrid intimidation’.

“Bila dokumen penilaian risiko ini akan dibentangkan di Dewan? Jika belum, kenapa belum dibuat sedangkan pencerobohan dan kebocoran operasi sudah pun berlaku?” soal beliau.

Ahmad Fadhli turut meminta jaminan audit keselamatan pertahanan negara termasuk sistem frekuensi radio, prosedur operasi standard (SOP) pengawasan dron serta integriti anggota risikan ATM dapat dilaksanakan segera.

Menjawab persoalan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu kebocoran maklumat keselamatan negara.

“Dakwaan pencerobohan dron oleh dua rakyat China sudah ditangkap dan sedang disiasat. Tentang kes rasuah pegawai ATM, saya setuju ini bukan perkara ringan kerana melibatkan badan risikan negara.

“Tetapi biar saya jelaskan, perkara ini sebenarnya telah dikesan sejak 2020 lagi. Bezanya sekarang, kita beri laluan penuh kepada SPRM untuk bertindak. Kalau dulu tertangguh, sekarang kita bongkar. Inilah dasar kerajaan ‘no compromise, zero tolerance’ terhadap rasuah,” katanya.

Pada soalan asal, Ahmad Fadhli meminta penjelasan Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau. – HARAKAHADAILY 19/8/2025

- Advertisement -