Isu sosial perlu dibendung sebelum jadi budaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Sabri Azit (PN-Jerai) meminta penjelasan berhubung tahap penyelarasan antara kementerian dalam menangani isu-isu sosial yang dikhuatiri boleh menjadi budaya negatif jika tidak ditangani segera.

- Advertisement -

Beliau mempersoalkan sejauh mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Agama serta Kementerian Komunikasi dalam usaha membendung gejala berkenaan.

“Saya rasa isu ini bukan lagi menjadi budaya tapi dia hampir akan menjadi budaya sekiranya perkara ini tidak dibendung terlebih awal,” katanya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melaksanakan penguatkuasaan dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan, termasuk dalam kes melibatkan pelajar sekolah.

“Kita pernah bongkar kes murid perempuan berusia 12 tahun yang menjual gambar tubuh sendiri melalui aplikasi WhatsApp. Bila kita jumpa kes seumpama ini kita kena dapatkan pandangan daripada pelbagai agensi,” katanya.

Dalam soalan asal, Sabri minta menyatakan tindakan kementerian dalam menangani jenayah ‘swinger’ dalam talian yang melibatkan penjawat awam dan pelajar universiti.

“Adakah peruntukan undang-undang sedia ada berjaya untuk membanteras jenayah seksual dalam talian,” soalnya. – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -