
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden mengecam keras insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai perbuatan jenayah melampau.
Beliau berkata, perlawanan politik seharusnya berlangsung dalam gelanggang politik dan tidak sepatutnya melibatkan pihak luar yang tidak berdosa.
“Nak lawan musuh politik, berdepanlah di dalam gelanggang politik. Jangan heret orang luar gelanggang yang tak berdosa untuk turut masuk dalam gelanggang.
“Hanya musuh yang bacul dan pengamal politik haiwan sahaja yang sanggup buat begini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu ulasan.
Beliau turut mendoakan agar penjenayah terbabit segera ditangkap dan dijatuhkan hukuman setimpal, selain keselamatan keluarga Ahli Parlimen Pandan itu dan semua pihak sentiasa terpelihara.
“Kes jenayah semakin menjadi-jadi. Malapetaka apakah yang sedang menimpa kita. Semoga kita semua dapat kembali kepada hukum al-Quran,” katanya yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional.
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar turut menyatakan rasa simpati mendalam dan kebimbangan serius terhadap insiden serangan terancang yang menimpa keluarga Rafizi pada petang 13 Ogos di Putrajaya.
Beliau berkata, menurut kenyataan Rafizi, sekitar jam 1.45 petang, dua lelaki berpakaian serba hitam serta bertopi keledar menutup muka telah mengekori dan menyerang anak beliau dengan cucukan jarum suntikan ketika isteri dan anaknya memasuki kereta di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah.
Menurutnya, maklumat yang dikongsi menunjukkan serangan itu dirancang lebih awal, melibatkan pengekalan suspek dengan motosikal, pemilihan waktu yang tepat serta tindakan berani di kawasan awam.
“Keadaan ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi selepas kes yang menimpa saudara Yusuf Rawther sebelum ini diikuti pula laporan penemuan dadah dan pistol palsu dalam kenderaan berkaitan.
“Persoalan besar timbul, apa yang sedang berlaku kepada tahap keselamatan negara kita?” soalnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, insiden sebegitu tidak boleh dibiarkan menjadi normal baharu kerana serangan terhadap ahli politik dan keluarga mereka adalah ancaman langsung terhadap demokrasi, keselamatan awam dan kestabilan negara.
Tegasnya, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan pantas, tegas dan menyeluruh, memastikan siasatan dijalankan secara telus, punca sebenar didedahkan serta pelaku dihadapkan segera ke muka pengadilan.
“Keselamatan rakyat adalah hak asasi yang mesti dipelihara tanpa kompromi. Rakyat Malaysia berhak keluar rumah, membawa keluarga ke tempat awam dan menjalani kehidupan seharian tanpa rasa takut atau bimbang terhadap ancaman jenayah yang terancang,” jelasnya.
Mohamed Sukri berkata, rakyat semakin merasakan keselamatan mereka tidak terjamin, bimbang hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa, dan mula dibayangi pelbagai teori yang menghakis rasa tenteram di negara ini.
“Apabila keyakinan kepada semua pihak semakin hilang, timbul persoalan besar, kepada siapa rakyat mahu menaruh harapan?” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











