
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengakui bahawa Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mempunyai tunggakan bil elektrik sebanyak RM61 juta dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, perkara itu akan diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Tunggakan itu berlaku ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19. Ketika itu pihak AKSB tidak dapat membuat kutipan bayaran.
“Manakala sebahagian pengguna pula tidak melunaskan bil kerana bekalan air sering terputus,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim.
Menurutnya, pihak TNB sudah mengadakan pertemuan dan berbincang bagi mencari penyelesaian dan perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan mengikut jadual dan kini pengurusan AKSB bertambah baik.
Menurut penjelasan AKSB, jumlah tunggakan tersebut merangkumi RM51.42 juta tunggakan prinsipal dan RM10.41 juta caj penalti dengan punca utama tunggakan adalah gabungan beberapa faktor.
Termasuk kutipan bil merosot ketika tempoh lockdown COVID-19, kenaikan kos elektrik akibat caj tambahan ICPT (Pelepasan Kos Tidak Seimbang) sebelum pelarasan tarif air dilaksanakan, serta kelewatan pelaksanaan tarif baharu air.
Caj ICPT meningkat sebanyak 23 peratus pada tahun 2022 yang menyebabkan purata bil elektrik bertambah RM3.4 juta sebulan, manakala pada tahun 2023, ia meningkat lagi sebanyak 9 peratus dengan purata tambahan RM3.7 juta sebulan.
Tarif baharu air sepatutnya bermula pada April 2019 dengan kenaikan purata 30 peratus, namun hanya dilaksanakan pada Ogos 2022 bagi kategori domestik dan Februari 2024 bagi kategori bukan domestik setelah tertangguh atas arahan Kerajaan Persekutuan.
Hasil perbincangan bersama TNB Negeri pada 14 Ogos 2024, AKSB telah memulakan pembayaran sebanyak RM500,000 sebulan bagi tunggakan prinsipal bermula September 2024.
AKSB turut bercadang menaikkan bayaran bulanan kepada RM1 juta bermula Januari 2026 selepas pelaksanaan tarif baharu, yang dijangka memendekkan tempoh penyelesaian tunggakan kepada lima tahun.
Rundingan juga akan diadakan bersama TNB untuk memohon pengecualian caj penalti sekiranya bayaran bulanan dinaikkan dan bagi bil semasa, AKSB komited membuat pembayaran secara teratur dalam tempoh 30 hingga 45 hari dengan purata kos RM3.5 juta sebulan.
Kerajaan Kelantan bersama AKSB menegaskan komitmen menyelesaikan tunggakan secara berperingkat, mengekalkan disiplin pembayaran bil semasa dan meningkatkan kecekapan operasi demi memastikan kelestarian bekalan air bersih kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











