
IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria memberi amaran bahawa negara sedang menuju ke arah suasana ‘ala gangsterisme’ atau ‘ala mafia’ sekiranya budaya ugutan, serangan dan intimidasi terhadap individu terus berleluasa tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol mengutuk sekeras-kerasnya insiden berlaku terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, iaitu parti memerintah ketika ini.
“Ugutan sebegini bukan sahaja mengancam keselamatan seseorang, malah menjadi ancaman kepada keselamatan awam secara keseluruhan. Rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri,” tegasnya.
Menurutnya, baru-baru ini berlaku satu lagi kejadian membimbangkan melibatkan seorang ahli DAP berprofil tinggi yang dikatakan saksi utama dalam kes rasuah, di mana akaun beliau dikatakan menjadi saluran penerimaan wang haram.
Mangsa difahamkan telah diserang ketika prosiding kes masih berjalan dan Razman menyifatkan perkara itu menggambarkan betapa pemberi maklumat atau saksi utama dalam kes berprofil tinggi tidak lagi dilindungi sewajarnya.
“Sepatutnya pemberi maklumat dilindungi mengikut undang-undang kerana mereka mendedahkan perkara yang dibuat di belakang tabir. Tanpa perlindungan ini, mereka terdedah kepada ancaman dan tekanan yang boleh membunuh kebenaran,” ujarnya.
Beliau turut mengaitkan isu ini dengan kes Mohammad Yusoff Rawther yang pernah menarik perhatian negara, di mana maklumat berprofil tinggi dibongkar telah membuka mata rakyat terhadap realiti politik semasa.
“Siapa yang ada rangkaian kuat, dia boleh lakukan apa sahaja. Sesiapa yang menggugat mereka akan menerima padah, ancaman dan sebagainya. Ini menjadikan orang dalam ketakutan untuk bersuara,” katanya.
Razman juga menyentuh isu tragis melibatkan Zara Qairina Mahathir yang dilihat berlaku jenayah dan baginya, rakyat perlu memandang serius kes-kes sebegini kerana ia menyentuh soal keadilan dan keselamatan negara, bukan hanya kepentingan individu tertentu.
“Kita kena bangkit seperti mana rakyat bangkit memperjuangkan keadilan untuk Zara. Isu ini mesti dijadikan agenda rakyat untuk menegakkan keadilan, bukan sekadar menjaga kepentingan segelintir orang berkuasa,” katanya lagi.
Razman yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong menegaskan, kebangkitan rakyat mesti berlaku secara organik demi memelihara keharmonian awam dan ketenteraman negara.
“Jangan biarkan negara kita hanyut menjadi negara ala mafia dan keadilan mesti ditegakkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











