
KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) mencadangkan supaya teknologi Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA) diperluaskan penggunaannya di seluruh negara.
Menurut beliau, ini kerana ia telah terbukti mampu meningkatkan ketahanan turapan jalan, mengurangkan kos penyelenggaraan sehingga 26 peratus dan mesra alam.
Beliau berkata, teknologi CRMA menggunakan getah kitar semula daripada tayar terpakai sudah dibuktikan keberkesanannya di Lebuhraya Selatan Lembah Klang (SKVE) dan wajar dimanfaatkan secara lebih meluas.
“Apakah strategi kementerian untuk memperluaskan pengeluaran _crumb rubber_ berkualiti tinggi, memperkukuh piawaian kebangsaan dan memperluaskan penggunaan CRMA?
“(Terutama) dalam projek sektor awam serta swasta, termasuk membangunkan peluang mengeksport bahan ini?” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perladangan dan Komoditi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin dalam jawapannya memberitahu, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Getah Malaysia dan Majlis Getah Malaysia (MRC) sentiasa mempergiatkan industri getah untuk pelbagai aplikasi hiliran.
Menurutnya, bagi penggunaan dalam projek awam yang dibiayai kerajaan, kementeriannya berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya.
Tambahnya, isu kerjasama ini juga boleh dibincangkan lanjut bersama Ahli Parlimen Pontian atau Timbalan Menteri Kerja Raya.
Ahmad Amzad dalam soalan asalnya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan bagaimanakah Kementerian menyokong penghasilan produk inovatif berasaskan tayar terpakai.
Serta tanya beliau mengenai pembangunan industri hiliran getah untuk mentransformasikan sektor ini ke arah ekonomi sirkular dan lestari.
Turut ditanya, bagaimanakah insentif atau kerjasama strategik untuk memperkukuh penyelidikan, pengkomersialan dan penggunaan produk mesra alam ini di pasaran. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











