
BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor memandang serius isu buli yang semakin membarah di institusi pendidikan berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta institusi tahfiz. Kejadian-kejadian ini bukan lagi kes terpencil, malah ada yang mengakibatkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa, seperti insiden melibatkan adik Zara Qairina Mahathir.
Hakikatnya, majoriti warden asrama di institusi pendidikan berasrama harian dan penuh ini adalah dalam kalangan tenaga pengajar iaitu guru sekolah, pensyarah kolej, tenaga akademik universiti, atau guru tahfiz.
Pada siang hari, mereka mengajar, menyediakan bahan pembelajaran, dan mengurus hal pentadbiran. Namun, pada waktu malam, mereka pula dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia pelajar di asrama, menangani konflik, dan mengurus kes kecemasan.
Beban tugas yang berlebihan ini menyebabkan tenaga pengajar bekerja hampir 24 jam sehari tanpa rehat yang mencukupi. Elaun warden yang kecil tidak sepadan dengan tanggungjawab dan risiko yang dipikul.
Akibatnya, ramai mengalami tekanan mental, keletihan melampau, dan penurunan kualiti pengajaran di bilik darjah, dewan kuliah, atau madrasah. Keletihan yang berpanjangan ini juga menyebabkan masalah-masalah disiplin seperti buli, vandalisme, dan salah laku lain tidak dapat ditangani dengan berkesan.
Sehubungan itu, PAS Johor mendesak KPM, KPT, MARA dan pihak berwajib yang mengurus institusi tahfiz untuk mengambil langkah segera berikut:
1. Melantik warden sepenuh masa daripada kalangan kakitangan bukan tenaga pengajar, sama ada pegawai pentadbiran atau pihak luar yang dilatih khusus.
2. Memberi latihan pengurusan pelajar dan pencegahan buli termasuk kemahiran kaunseling asas.
3. Meningkatkan kadar elaun supaya setimpal dengan tanggungjawab dan risiko tugas.
4. Memantau prestasi dan keberkesanan warden secara berkala.
5. Melaksanakan saringan dan pemeriksaan latar belakang terhadap semua calon warden bagi memastikan mereka bebas daripada rekod jenayah, berakhlak baik, dan mampu menjadi teladan kepada pelajar.
6. Melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan berasrama, termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), politeknik, kolej komuniti, universiti awam, universiti teknikal, institusi MARA, asrama harian, dan pusat tahfiz, bagi mengenal pasti kelemahan prosedur keselamatan dan memperbaiki langkah pencegahan buli.
Tugas utama seorang tenaga pengajar adalah mendidik dan membimbing pelajar, bukannya bekerja tanpa henti siang dan malam. Dengan adanya warden luar yang berkemahiran dan disaring rapi, disokong oleh audit keselamatan yang menyeluruh, beban pengajar dapat dikurangkan, kes buli dapat diminimumkan, dan keselamatan pelajar dapat dijamin.
PAS Johor menegaskan bahawa, jika kita benar-benar mahu membendung budaya buli yang semakin membarah, sistem pendidikan berasrama perlu direformasikan dari segi pengurusan asrama dan kawalan keselamatan, demi menjaga kebajikan tenaga pengajar dan keselamatan pelajar.
‘Islam Adalah Penyelesaian’
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 13/8/2025











