
JOHOR BAHRU: Dewan Muslimat PAS Negeri Johor mengambil maklum pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perbelanjaan RM8.4 juta bagi membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada lebih 5.14 juta pelajar di seluruh negara.
Ketua Penerangannya, Dr Adawiyah Khairiyah berkata, perbelanjaan itu bagaimanapun perlu dinilai dari segi keutamaan serta keberkesanan impaknya terhadap pembangunan pendidikan, selaras dengan pengurusan kewangan dan keadaan ekonomi semasa.
“Jumlah RM8.4 juta adalah sumber yang signifikan dan berpotensi digunakan bagi memperkukuh aspek yang memberi manfaat langsung kepada guru dan pelajar, antaranya penyelenggaraan infrastruktur sekolah seperti membaiki bumbung, tandas, dan kemudahan asas lain.
“Peningkatan kemudahan pembelajaran termasuk perpustakaan, makmal sains, dan peralatan teknologi maklumat serta pengambilan warden asrama khusus bagi mengurangkan beban guru yang kini memegang peranan berganda,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, patriotisme yang tulen dibina melalui pendidikan nilai, kefahaman sejarah, dan persekitaran pembelajaran yang kondusif, bukan semata-mata melalui simbol yang dipakai pada pakaian.
“Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor menggesa agar KPM menilai semula perancangan perbelanjaan yang melibatkan dana rakyat.
“Supaya setiap sen dibelanjakan memberi kesan langsung kepada kualiti pendidikan dan kebajikan warga sekolah. Cinta negara harus dihayati, bukan sekadar dipakai,” katanya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam memaklumkan setiap pelajar akan menerima dua lencana secara percuma sebagai sebahagian inisiatif memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara.
Ia bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar di bawah institusi KPM. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











