Curi sumber negara: Kerajaan perlu bertindak segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menggesa kerajaan bertindak segera menangani isu kecurian sumber bumi negara khususnya melibatkan perlombongan mineral secara haram yang dikesan semakin membimbangkan.

- Advertisement -

Beliau berkata, berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, sebanyak 21 kes pencerobohan tanah kerajaan bagi aktiviti perlombongan mineral haram direkodkan di enam negeri antara 2022 hingga 2025.

“Melibatkan emas dan unsur nadir bumi (REE) dengan nilai rampasan mineral serta jentera bernilai RM2.89 juta. Namun, anggaran sebenar tidak dapat ditentukan. Kita bimbang apabila selesai isu prosedur diputuskan, hasil mineral berharga itu sudah pun habis dicuri,” katanya.

Wan Razali menggesa kerajaan mempercepatkan proses pembangunan industri REE dengan mengutamakan bakat tempatan dalam sektor pertengahan dan hiliran supaya rakyat mendapat manfaat secara langsung.

“Kita perlu membangunkan industri ini dengan keutamaan kepada bakat tempatan, bukan membiarkan pihak luar mengaut keuntungan,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau turut mencadangkan peruntukan tambahan kepada unit penguatkuasaan, penggunaan dron industri bagi pemantauan pencerobohan serta hukuman lebih berat terhadap pelaku jenayah tersebut.

Dalam perbahasannya, beliau turut menyentuh isu perumahan apabila mempersoalkan mengapa sasaran pembinaan rumah mampu milik kekal 500,000 unit dalam RMK13 tanpa peningkatan berbanding RMK12.

Beliau juga memohon data sasaran skim Sewa Untuk Beli (RTO) yang diperluaskan dalam tempoh 2026 hingga 2035.

“Kenapa tiada peningkatan sasaran sedangkan harga rumah terus naik dan permintaan rakyat semakin tinggi?” soalnya turut membangkitkan persoalan mengenai tahap penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.

Selain itu beliau juga mengetengahkan bantuan kerajaan kepada pengusaha tempatan, dan keperluan melatih tenaga kerja mahir khususnya daripada aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Berkaitan keterjaminan makanan, Wan Razali menggesa kerajaan memastikan bekalan beras dan bahan makanan asas mencukupi sekiranya berlaku krisis global dengan meminta aspek keselamatan rakyat mesti diutamakan berbanding keuntungan.

Beliau turut membantah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan keperluan harian kerana menambah beban kos sara hidup rakyat.

“Ini bercanggah dengan janji Perdana Menteri sebelum ini untuk tidak memperkenalkan cukai baharu yang membebankan rakyat,” katanya, selain menyentuh cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun.

Beliau meminta kerajaan meneliti kesan fizikal, mental, peluang pekerjaan golongan muda, tempoh menikmati persaraan, dan risiko rakyat terus berhutang lebih lama.

Dalam isu pertumbuhan penduduk yang semakin menurun, beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan insentif cukai anak, menambah tempoh cuti bersalin, memberi subsidi perumahan kepada keluarga muda serta menyediakan insentif khas perkahwinan kali pertama.

Pada masa sama, beliau membangkitkan beberapa isu setempat di Kuantan termasuk status projek pembetungan yang belum siap, pembinaan bangunan tambahan di Sekolah Kebangsaan Kempadang, serta permohonan pembinaan jejantas di Kampung Sungai Deraka bagi keselamatan pelajar dan penduduk. – HARAKAHDAILY 13/8/2025

- Advertisement -