
SETIAP hari, saya ambil masa paling kurang 1 jam mengikuti siaran TV Al-Jazeera. Antara wartawannya yang menonjol ialah Anas As-Sharif. Beliau sangat gigih melaporkan berita dari Gaza.
Pernah beliau sedang melaporkan berita, tiba-tiba serangan roket menuju ke sebuah bangunan di belakangnya.
Beliau masuk ke semua tempat di Gaza bagi melaporkan kejadian yang berlaku.
Ketika Hamas membebaskan tahanan perang sebelum ini, Anas masuk di celah-celah askar Briged Al-Qassam melaporkan berita yang menjadi tumpuan dunia ketika itu.
Dalam berita sebelum ini, saya menulis bagaimana Anas, ketika membuat laporan berita, mengelap matanya kerana sebak melihat mereka yang mati kebuluran, termasuk dirinya yang pernah sukar mendapat makanan.
Laporannya dilihat, dibaca dan diketahui semua orang di dunia. Mereka tahu kejadian sebenar di Gaza hasil laporan tersebut.
Anas rasa masa hidupnya tidak lama. Rejim Zionis ada memberi amaran kepadanya.
Rejim Zionis mengakui mereka sengaja bunuh Anas kerana beliau dianggap kononnya ada kaitan dengan Hamas.
Dron rejim Zionis memuntahkan pelurunya awal pagi Isnin, 11 Ogos 2025 di khemah yang didiami Anas, Muhammad Quraiqi’ dan 2 jurukamera Al-Jazeera di hadapan hospital. Semua mereka syahid.
Sejak perang meletus dan sehingga kini, rejim Zionis telah membunuh 273 wartawan Palestin. – HARAKAHDAILY 11/8/2025











