
KANGAR: “Kepada anak-anak Perlis, walau sejauh mana pun kejayaan yang dikecapi, jangan lupa akar tempat bertapak. Pulanglah menabur bakti kepada negeri tercinta ini,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Beliau bertitah demikian selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar Jaya, di sini baru-baru ini.
Titah Tuanku, anak-anak muda Perlis perlu memanfaatkan peluang untuk menguasai kemahiran kecerdasan buatan (AI) dengan lebih awal, praktikal, dan berfokus kepada penyelesaian dunia sebenar.
“Hari ini kita tidak lagi bercakap tentang masa depan kerana masa depan itu telah tiba. Dunia sedang berubah dengan sangat cepat, dan antara pemacu terbesarnya ialah AI. Ia kini berada dalam telefon pintar, aplikasi harian, mesin pengeluaran, malah dalam penternakan dan pertanian moden,” titah baginda.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sempena program itu, Tuanku berkenan menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Hussain Mohamood, 83, (Kampung Titi Tok Bandar), Norisah Md Isa, 68, (Kampung Hutan Melintang), dan Rosli Dahaman, 71, (Kampung Alor Tok Terang).
Setiap penerima menerima bantuan berupa wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah.
Baginda turut singgah melawat Tadika Islam Perlis (TIPs) yang beroperasi di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kangar, khusus untuk anak-anak kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











