Sultan Pahang titah perkasa enakmen syariah

PAS Pahang sokong

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa gembira dan menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menitahkan agar enakmen syariah di negeri ini dikaji semula.

- Advertisement -

Paduka Baginda mahu ia dilakukan secara menyeluruh dan bukan sekadar semakan kosmetik, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar juga melahir rasa syukur ke hadrat Ilahi atas kesungguhan Tuanku untuk mengangkat hukum Allah SWT sebagai hukum tertinggi yang akan memelihara rakyat khususnya umat Islam di negeri Pahang.

Katanya, walaupun masih di peringkat kajian tetapi pihaknya yakin dengan kesungguhan Tuanku satu masa ia akan dapat dilaksanakan.

“PAS Pahang akan terus menyokong apa sahaja usaha yang bertujuan untuk meninggikan syiar Islam termasuklah perlaksanaan hukum Allah SWT sebagaimana yang Tuanku titahkan.

“Kami berdoa agar negeri Pahang yang sama-sama kita cintai ini terus menerus dilimpahi rahmat dan keberkatan dan berdoa agar Tuanku diberikan kekuatan oleh Allah SWT.

“Untuk (baginda) terus berusaha agar negeri Pahang menjadi sebuah negeri yang gemilang dengan cahaya Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Pahang bertitah, dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin mencabar dan menggugat prinsip syariah, sudah tiba masanya peruntukan undang-undang Islam di Pahang digubal dengan lebih mendalam.

Serta titah Al-Sultan Abdullah, agar selari dengan lima prinsip utama maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Baginda menegaskan, setiap peruntukan baharu mestilah mencerminkan realiti masyarakat Islam kontemporari serta menjawab keresahan umat dengan penuh hikmah dan ketegasan, disokong oleh mekanisme penguatkuasaan tersusun dan menyeluruh. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -