Pengurangan tarif: Polisi urus NR-REE berubah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan mengenai kadar tarif Amerika Syarikat daripada 25 kepada 19 peratus disebabkan perubahan polisi dalam pengurusan sumber nadir bumi bukan radioakif (NR-REE) di negara ini.

- Advertisement -

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, beliau menyokong keputusan tidak mengeksport NR-REE dalam bentuk bahan mentah, sebaliknya diproses dalam negara dengan menggunakan kepakaran tempatan.

“Mengenai isu REE, saya ingin jelas kerajaan telah buat keputusan besar dan saya menyokong keputusan tersebut iaitu buat keputusan tidak akan mengeksport REE dalam bentuk mentah tetapi diproses dalam negara.

“Saya ingin dapat penjelasan kerajaan dalam rundingan Amerika baru-baru ini, dibuat akan eksport REE ke Amerika, apakah kerajaan telah ubah polisi daripada tidak eksport kepada perubahan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) dalam tempoh lima tahun, bermula pada tahun 2026 sehingga 2030 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu turut menyambut baik cadangan yang diutarakan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) supaya kerajaan menubuhkan satu entiti khusus bagi menguruskan sumber baharu REE di negara ini.

Beliau berkata, penemuan bijih timah menjana kemajuan di negeri-negeri terbabit, begitu juga penemuan NR-REE bakal menjadi pemangkin yang besar terhadap kepesatan pembangunan negeri khususnya di Pantai Timur.

Menurutnya, begitu juga pengurusan dalam petroleum negara juga tidak sepatutnya berulang semula apabila negeri-negeri pengeluar gagal mendapat hak royalti sebagaimana yang dijanjikan dalam Perlembagaan Negara.

“Kita bimbang kalau REE ini akan menjadi nasib yang sama, negeri pengeluar yang ada bahan REE tiba-tiba bila pembangunan REE dibuat negeri tersebut gagal mendapat manfaat dengan hasil yang ada dalam negeri mereka.

“Maka kerana itu kita (negara) perlu jelas dalam perkara ini supaya pembangunan dan kesannya dapat dimanfaatkan oleh negeri-negeri yang menjadi pengeluar REE di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -