RMK13 peluang baiki sistem pendidikan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka dilaksanakan pada tahun depan, 2026, merupakan peluang terbaik memperbetulkan semula hala tuju pendidikan negara terutamanya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

- Advertisement -

Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkata, masalah utama PBS adalah memberi bebanan besar tugas guru, kekeliruan dalam pelaksanaannya, kekurangan kemudahan sesuai selain rungutan ibu bapa terhadap prestasi anak pelajar.

Selain PBS kata beliau, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga dilihat gagal memberi kesan pendidikan sehingga ada pihak mahu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan semula.

“Janganlah hanya kerana ingin dilihat maju dan terkedepan, kita sanggup mengorbankan generasi akan datang dengan sistem yang memberikan kesannya lebih buruk kepada anak bangsa.

“Saya mohon perkara ini diberikan perhatian dan dimasukkan semakan dasar dalam RMK13 di bawah kluster pembangunan pendidikan,” katanya pada perbahasan RMK13 di sini semalam.

Mohd Hasnizan merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor turut membangkitkan mengenai pembinaan sekolah rendah dan menengah dalam kawasan mempunyai populasi yang tinggi.

Biarpun situasi itu masih wujud seluruh negara, namun beliau menyambut baik cadangan kerajaan dalam RMK13 yang meletakkan syarat pembinaan sekolah bagi projek perumahan besar.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap penempatan penduduk semakin meningkat di Hulu Selangor termasuk pembangunan di kawasan yang terus berkembang saban masa.

“Saya menyambut baik inisiatif ini dan kerajaan perlu berikan perhatian kepada kawasan yang sekolahnya tidak mampu tampung jumlah pelajar yang semakin meningkat di seluruh negara.

“Di Hulu Selangr ada beberapa kawasan yang memerlukan sekolah baru disebabkan jumlah penduduk yang semakin meningkat selain pembukaan sebuah syarikat automotif akan sumbang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -