Malang jika Perdana Menteri rujuk video tidak sahih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) merujuk kepada sebuah video di TikTok ketika mendakwa wujud penentangan terhadap pemotongan subsidi kepada warga asing.

- Advertisement -

Jelas beliau, video yang mengaitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bukan sahaja telah dipadamkan, malah akaun TikTok berkenaan juga sarat dengan video bersifat fitnah serta terhadap Ahli-ahli Parlimen PN menggunakan fakta palsu.

“Entah siapa yang buat, wallahu’alam. Sekiranya PMX merujuk kepada video ini, amatlah malang kepada beliau kerana mempunyai pasukan media yang tidak cermat. Seharusnya seorang Perdana Menteri wajib mempunyai maklumat yang tepat.

“Dan benar sebelum masuk ke Dewan Rakyat. Peruntukan untuk Pejabat Perdana Menteri bukannya sedikit, pegawai-pegawai yang ada di sekeliling takkanlah tak boleh bantu,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.

Tambah beliau, adalah difahami bahawa seorang Perdana Menteri tidak mampu meneliti setiap bahan media yang tular, namun ia merupakan tanggungjawab pegawai-pegawai di sekeliling untuk memastikan maklumat diterima sahih dan tepat.

“Saya simpati kepada YAB Perdana Menteri dalam hal ini,” ujarnya.

Semalam, Anwar ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat mendakwa Muhyiddin mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Ia sebagai reaksi terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid yang meminta Anwar menjelaskan siapakah ahli parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -