
KUALA LUMPUR: Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) menegaskan bahawa kelemahan utama dalam pelaksanaan pembangunan negara bukanlah pada perancangan atas kertas, tetapi pada pelaksanaan yang lemah dan tidak efisien.
Berucap ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyatakan bahawa senarai projek sakit dalam ‘rolling plan’ sebelum ini menunjukkan berpunca daripada pelantikan kontraktor yang tidak berkeupayaan.
“Musuh utama kita bukan dokumen tebal ini, tetapi pelaksanaan. Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyerlahkan ketempangan dasar di peringkat Kementerian Kewangan (MOF), dasar pra kelayakan terpilih yang diperkenalkan oleh MOF sendiri.
“Ini boleh mewujudkan ruang manipulasi dan ketidakberkesanan terhadap dasar perolehan kerajaan malah saya turut mengesyorkan agar kerajaan menghentikan dasar perolehan tersebut.
“Kalau dasar perolehan kerajaan sendiri tempang bagaimana kita mahu melihat senarai perancangan strategik pembangunan yang ada,” tegas beliau yang juga Ketua Ulamak PAS Pusat.
Dalam aspek pelaburan pula, Ustaz Ahmad membangkitkan kejayaan Kedah sebagai penerima pelaburan tertinggi sektor pembuatan dengan nilai RM44.1 bilion, termasuk RM132.5 bilion yang diterima oleh Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dalam tempoh empat tahun terakhir.
“Sudah tiba masanya KHTP dan Kedah secara keseluruhannya dijadikan teras pelaburan berteknologi tinggi berdasarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya sambil memohon penjelasan daripada kementerian berkaitan berkenaan perancangan selanjutnya.
Mengulas lanjut tentang strategi RMK13 yang menyasarkan mobiliti sosial dan pembangunan seimbang wilayah, beliau menzahirkan kekecewaan kerana negeri-negeri membangun seperti Kedah dan Perlis terus dipinggirkan.
Beliau turut mencadangkan agar Zon Ekonomi Khas Sempadan Delapan (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Persekutuan.
“Fasa pertama infrastruktur SBEZ telah siap, dan kemudahan yang mampu kendali 240,000 kontena setahun mula beroperasi sejak Februari. Kenapa zon ini tidak diberikan keutamaan seperti Johor dan Singapura?
“Kita berikan sedikit tumpuan terhadap Delapan SBEZ yang dibangunkan, kita boleh mempelbagaikan peluang untuk merealisasikan keseimbangan wilayah melibatkan negeri Perlis, Kedah dan juga akan melimpah ke Pulau Pinang dan juga Perak,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan penstrukturan semula zon perindustrian supaya tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang, memandangkan limpahan pelaburan kini melebihi kapasiti infrastruktur negeri itu.
“Ada kajian yang menunjukkan keupayaan dibangunkan hab halal yang strategik melibatkan Malaysia-Thailand yang bersepadan,” jelas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Beliau turut menyentuh strategi pembangunan rantaian nilai unsur nadir bumi (REE), terutamanya melibatkan negeri Kedah yang banyak mempunyai kawasan berpotensi, namun berada dalam hutan simpan.
“Kaedah perlombongan yang diperkenalkan sejak sekian lama serta pembangunan teknologi perlombongan yang berkesan wajar menjadi perhatian di peringkat kementerian.
“Agar manfaat daripada industri REE ini dapat diperolehi serta dalam masa yang sama dapat memelihara sumber khazanah hutan simpanan negara.
“Ini memerlukan langkah lebih teliti di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, oleh sebab itu saya berpandangan kita harus menilai pembangunan industri REE sebagai strategi melibatkan soal pembangunan teknologi dan kepakaran bersepadu,” jelasnya.
Meneliti strategi reformasi pendidikan di bawah RMK13, beliau menegaskan keperluan penyelesaian konkrit terhadap isu bebanan tugas guru serta tekanan yang dihadapi dalam mendepani cabaran moral generasi muda.
“Menjadi guru zaman ini bukan mudah. Mereka bukan sahaja pendidik, tetapi turut memikul tanggungjawab moral terhadap anak bangsa dalam dunia yang penuh cabaran globalisasi.
“Bagaimana intervensi sesuai bagi menyokong dan mendokong profesion guru pada hari ini ini, yang harus kita perhalusi secara mendalam, dimensi cabaran dihadapi oleh golongan pendidik jauh daripada apa dinyatakan dalam dokumen RMK13 ini,” tegas beliau.
Ustaz Ahmad juga menyambut baik usaha memperkukuh TVET Tahfiz, namun meminta agar penyertaan institusi tahfiz swasta turut diberi ruang yang adil dalam pelaksanaan dasar tersebut.
Dalam bahagian akhir ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendekatan menangani kemiskinan harus bersasar dan berpaksikan data lokaliti, bukan sekadar mengulangi retorik.
“Bagi memastikan pendekatan yang diterokai dapat disesuaikan dengan kehendak sosioekonomi masyarakat setempat, inilah yang sewajarnya diperhatikan oleh kerajaan dalam usaha menangani kemiskinan, jika tidak slogan ‘Menoktahkan Kemiskinan’ hanyalah menjadi retorik politik,” ujar beliau lagi.
Beliau mengakhiri perbahasan dengan serangkap pantun, ‘Kuatnya hati bersifat tabah, Hadapi ekonomi tidak menentu, Jika dinasihat tak juga berubah, Baik diganti kerajaan yang baru’. – HARAKAHDAILY 5/8/2025











