Bangunkan industri halal secara lebih mampan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasaran halal di peringkat global semakin berkembang dari tahun ke tahun, khususnya dalam sektor makanan yang diunjur mencecah RM12.79 trilion menjelang 2025 dan terus meningkat sehingga 10 peratus setiap tahun.

Datuk Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) berkata, saranan supaya eksport produk halal mencapai RM80 bilion menjelang 2030 dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju industri halal di peringkat antarabangsa.

“Beberapa langkah dicadangkan. Pertama, sejauh manakah pihak kerajaan memastikan kapasiti pengeluaran dalam negara mencukupi untuk memenuhi keperluan dan permintaan domestik.

“Justeru menjadi keperluan di pihak kerajaan untuk mewujudkan suatu pelan pengurusan stok yang efektif agar produk halal di dalam pasaran tempatan tidak melonjak tinggi sehingga berisiko membebankan rakyat di negara ini,” ujarnya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Naib Presiden PAS itu berkata, strategi memperkasakan taman perindustrian halal adalah satu langkah baik dalam membangunkan industri halal secara lebih mampan.

“Namun begitu, adakah terdapat kawasan-kawasan tertentu sahaja yang menjadi sasaran pembangunan taman perindustrian halal ini? Bagaimana pemain industri terutama di kawasan luar bandar boleh mendapat manfaat daripada inisiatif ini?

“Melihat pada perkembangan teknologi yang semakin pesat, taman perindustrian halal ini bukan sahaja perlu dibangunkan dari aspek infrastruktur dan fasiliti fizikal semata-mata.

- Advertisement -

“Bahkan ia sewajarnya dikembang menjadi platform digital dalam menjejak rantaian bekalan yang akan mempercepatkan proses pensijilan dan pengauditan produk-produk halal.

“Kesannya, ia berpotensi menarik lebih ramai pelabur dan mempercepatkan proses eksport barangan serta produk halal ke pasaran antarabangsa,” kupasnya.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menyentuh peranan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pembangunan industri halal.

“Perkembangan industri halal yang semakin pesat wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh PMKS. Apakah langkah terperinci yang dirancang oleh kerajaan bagi memastikan penskalaan PMKS berjaya mencapai objektifnya selari dengan perkembangan industri halal?

“Yang keempat, sejauh manakah penskalaan PMKS ini akan memberi ruang kepada para peniaga untuk mendapat akses pembiayaan mikro, latihan, pensijilan eksport, bimbingan pasaran eksport dan sebagainya sebagai langkah yang seiring untuk mengembangkan perniagaan mereka di dalam industri halal negara kita,” soalnya.

Beliau turut mencadangkan supaya peranan di peringkat negeri diperkasakan, sama ada melalui perundangan mahupun penubuhan suruhanjaya tunggal, agar manfaat perkembangan industri halal dapat dirasai oleh seluruh pemain industri.

“Bukan sahaja di kawasan tumpuan seperti Lembah Klang, bahkan di kawasan luar bandar seperti Terengganu, Kelantan dan juga Perlis.

“Di kesempatan ini, saya mengharapkan supaya proses import produk halal daripada Amerika Syarikat mesti mengikut piawaian standard halal JAKIM seperti yang diguna pakai oleh negara-negara luar juga.

“Ertinya, tidak ada lebih dan kurang seperti digunapakaikan untuk AS dan juga negara-negara lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2025

- Advertisement -