
KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis menyambut baik dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap inisiatif Kempen Jom Solat dan Jom Baca al-Quran yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Perlis.
Ketua Pemuda PAS Negeri, Haziq Asyraf Dun menegaskan bahawa usaha ini adalah langkah tepat dan strategik ke arah melahirkan generasi berakhlak, berdisiplin dan terpimpin dengan nilai Islam.
“Usaha ini selari dengan matlamat untuk membentuk generasi yang berakhlak, berdisiplin dan berpaksikan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Pemuda PAS melihat kempen ini bukan sahaja sebagai program keagamaan semata-mata, tetapi sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam membina modal insan yang sejahtera dan berintegriti,” ujar Haziq.
Menurut beliau, kempen ini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam kalangan anak muda serta seluruh warga Perlis dalam memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, terutamanya ketika situasi dunia yang semakin mencabar nilai-nilai murni.
Kempen tesebut, jelas beliau, menepati firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 41, di mana menyeru agar mereka yang diberi kuasa di muka bumi mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Kami yakin, kempen ini mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan rohani rakyat Perlis, khususnya generasi muda. Pemuda PAS bersedia berganding bahu dengan agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan seluruh masyarakat bagi menjayakannya di segenap pelusuk negeri,” katanya.
Beliau menyeru agar seluruh warga Perlis menjadikan solat dan al-Quran sebagai paksi kehidupan, bukan sahaja sebagai ibadah peribadi tetapi juga sebagai asas kepada pembentukan sahsiah, keluarga, masyarakat dan negara yang diberkati.
Sebelum ini Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli melalui Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen ‘Jom Solat’ (Hayya Ala Solah) pada tahun 2023 dan disokong oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Majlis tersebut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang turut berkenan hadir dan menyempurnakan perasmiannya.
Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai solat fardu lima waktu dan pentingnya solat berjemaah.
Ia dilaksanakan melalui pemasangan papan tanda mesej ringkas seperti “Nak Berjaya Jom Solat”, serta program Jaulah Subuh di masjid terpilih dengan penglibatan pimpinan negeri.
Manakala kempen “Nak Tenang, Nak Bahagia, Jom Baca Al‑Quran” pula dilancarkan secara rasmi pada 1 Januari 2025 semasa Karnival Sambutan Tahun Baru Perlis yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Kempen ini dirancang sebagai kesinambungan daripada kempen ‘Jom Solat’, yang memberi fokus kepada memasyarakatkan pembacaan, penerapan kefahaman, dan penghayatan Al‑Quran dalam kehidupan sehari-hari sebagai sumber ketenangan dan kebahagiaan jiwa.
Di peringkat negeri, kempen ini terus diperluaskan ke semua majlis rasmi kerajaan sejak pertengahan tahun 2025, bagi membina generasi yang cinta solat dan Al-Quran. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











