Wajar bertegas atas program yang tak ikut prosedur

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyokong penuh ketegasan kerajaan negeri berhubung penganjuran program kesedaran HIV yang dijalankan tanpa prosedur serta makluman rasmi di sebuah premis di Kemumin, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Pemudanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, meskipun usaha pencegahan HIV/AIDS adalah satu inisiatif kesihatan awam yang penting, pelaksanaannya mestilah mengikut prosedur betul.

“Sebarang program kesihatan seperti ini perlu dilaksanakan secara tertib, terancang dan melalui saluran rasmi. Kelulusan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan juga penting bagi menjaga sensitiviti masyarakat serta menjamin keharmonian sosial,” katanya.

Beliau menegaskan, insiden ini membuktikan bahawa walaupun niat asal adalah kesihatan, kegagalan mematuhi tatacara pelaksanaan boleh mengundang salah faham yang akhirnya mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat.

Katanya, perkara itu juga memberi kesan buruk kepada imej kerajaan negeri serta ketenteraman awam.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan agar kerajaan negeri menjadi orang tengah untuk mempertemukan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi menjernihkan salah faham berhubung program berkenaan.

“Pertemuan ini penting untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan mewujudkan garis panduan yang lebih jelas serta menyeluruh pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya satu prosedur tetap operasi (SOP) yang ketat dan khusus dibangunkan bagi penganjuran program kesihatan, khusus melibatkan komuniti berisiko tinggi.

Katanya, prosedur tersebut perlu merangkumi tapisan lokasi, masa pelaksanaan, pengesahan kandungan program serta kehadiran penguat kuasa sebagai pemantau.

Dalam masa sama katanya, kempen pendidikan awam yang berteraskan nilai tempatan dan prinsip syariah juga perlu dipertingkatkan dengan kerjasama NGO, masjid, sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“NGO yang mahu melaksanakan program sebegini harus diberi ruang yang adil, tetapi mereka perlu bersedia mematuhi budaya setempat serta bersikap telus dalam penyampaian maklumat kepada pihak berwajib,” katanya.

Mohd Firdaus turut menyatakan komitmen Pemuda PAS Kelantan untuk terus bersama kerajaan negeri dalam mempertahankan nilai moral masyarakat serta menolak sebarang bentuk aktiviti yang meragukan.

Katanya, walaupun kes ini terpencil jika dibandingkan dengan negeri lain, ia cukup untuk menimbulkan kegelisahan rakyat Kelantan.

“Kami percaya Kelantan sebagai sebuah negeri yang menjunjung dasar Membangun Bersama Islam akan terus menjadi contoh dalam mengekalkan kestabilan sosial, nilai murni, dan semangat musyawarah antara pihak berkepentingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -