Tarif elektrik naik: Industri terkesan, rakyat terjejas

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) menegaskan jaminan kerajaan bahawa kenaikan tarif elektrik adalah tidak membebankan, lebih adil dan progresif tidak menggambarkan realiti sebenar yang dialami oleh rakyat.

- Advertisement -

Menurut beliau, laporan Persatuan Pusat Data Malaysia serta Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah Malaysia sebaliknya menyatakan bahawa langkah tersebut akan meningkatkan kos operasi dan memberi kesan kepada pengguna.

“Tarif ini bagi pihak industri, berlaku kenaikan 102 peratus bagi industri voltan tinggi di waktu luar puncak terutamanya daripada RM20.20 kepada RM40.43 kilowat perjam (kW/h). Untuk industri sederhana, kenaikan 162.3 peratus.

“Daripada harganya RM37 kepada RM97.06 kW/h. Jadi susah tentulah ini akan meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyentuh mengenai keuntungan bersih Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meningkat kepada RM1.44 bilion pada suku kedua 2024, berbanding RM327.9 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Adakah kerajaan berhasrat untuk memberikan apa-apa subsidi sama ada dalam bentuk rebat dan sebagainya bagi membantu rakyat sebagaimana yang dibuat pada tahun 2021 dan 2022, di mana kerajaan membelanjakan hampir RM6 bilion untuk memberi subsidi rebat kepada rakyat,” katanya.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam jawapannya berkata, sebanyak 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan langkah itu kerana sebahagiannya adalah penerima rebat.

“Pendekatan sekarang ialah lebih kepada kecekapan penggunaan tenaga itu sendiri. Sama ada kita nak menggalakkan mereka beralih kepada menggunakan tenaga boleh baharu menggunakan sistem yang lebih cekap tenaga.

“Dengan itu mereka akan dapat turun pada kadar penggunaan, bukan lagi jenis bisnes. Tapi pada kadar penggunaan di mana mereka akan dapat rebat, mereka akan dapat insentif, itu pendekatan kita,” katanya.

Takiyuddin dalam soalan asal minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah perubahan kepada struktur bil elektrik TNB yang tidak lagi menggunakan kadar bertahap untuk pengguna domestik.

Ia termasuk bagaimanakah mekanisme baru ini akan memastikan keadilan kos, kecekapan penggunaan tenaga dan mengekalkan subsidi tertumpu untuk golongan B40 dan M40. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -