Penjawat awam juga berhak sertai HTA 26 Julai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penjawat awam juga merupakan rakyat Malaysia yang dijamin hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, tegas Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS Malaysia, Nazrul Nazir.

- Advertisement -

Menurut beliau, kelompok ini berhak menyuarakan pandangan, berhimpun serta berpersatuan seperti mana dijamin undang-undang, namun tetap tertakluk kepada etika perkhidmatan awam.

“Sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh mencemar imej jabatan atau terlibat secara terbuka dalam aktiviti politik tanpa kebenaran.

“Namun, kita perlu fahami bahawa tidak semua bentuk perhimpunan itu bersifat politik atau melanggar etika kerja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau merujuk kepada Himpunan 26 Julai yang disifatkan sebagai satu gerakan suara rakyat, bukan perhimpunan politik.

“Himpunan ini lahir daripada keresahan rakyat terhadap isu kos sara hidup, pemotongan subsidi dan tekanan ekonomi yang turut dirasai penjawat awam sendiri. Ini bukan soal parti, ini soal hidup,” ujarnya.

Nazrul turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang cuba membayangkan perhimpunan tersebut sebagai ancaman.

Malah katanya, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri merupakan antara tokoh yang pernah memimpin rakyat berhimpun atas nama keadilan dan hak pada masa lalu.

“Tiada apa yang perlu digusarkan. Kita turun bukan sebagai musuh negara, tetapi sebagai rakyat yang cinta kepada negara.

“Kerana cinta kepada negara, kita berhimpun pada 26 Julai ini bukan untuk merosakkan, sebaliknya demi menyelamatkan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -