
MUNGKIN ramai yang tidak mengenali apa itu bronok terutama mereka yang bukan berasal dari Langkawi.
Jika dilihat pada rupa fizikal dan saiz, bronok merupakan spesies hidupan laut yang seakan-akan sama dengan gamat atau timun laut dan boleh didapati di kawasan pantai berselut sekitar Langkawi.
Teksturnya sama seperti sotong dan biasanya mempunyai beberapa warna seperti merah jambu dan coklat kehitaman.
Bronok ini merupakan antara sajian istimewa di Pulau Lagenda itu dan kebanyakan penggemarnya, tidak melepaskan peluang menikmatinya.
Tetapi bronok ini tidaklah dimasak sepertimana masakan yang lain seperti kari, sambal tumis, asam pedas atau sebagainya, tetapi tidak mustahil andai satu hari nanti, bronok ini boleh dipelbagaikan sajiannya.
Ketika ini bronok dijadikan kerabu dan menjadi makanan eksotik di Langkawi dan merupakan spesies timun laut di mana nama saintifiknya Acaudina molpadioides.

Tidak semua penduduk Langkawi pandai menyediakan kerabu bronok yang sedap dan enak, tetapi untuk menyediakan tidaklah terlalu susah.
Bahan utama kerabu bronok, pertama mestilah bronok itu sendiri atau juga dipanggil ‘sea potato’ kerana bentuknya juga seakan-akan kentang.
Bronok dibersihkan dengan membuang bahagian kepala dan ekor, kemudian dihiris nipis dan dicuci untuk membuang sisa lumpur dan pasir.
Sediakan bahan-bahan lain seperti bawang merah (dihiris), cili (dihiris), limau nipis (diperah jusnya), dan perasa lain seperti garam dan gula.
Jika suka, tambahkan bahan-bahan lain seperti hirisan mangga muda, daun kesum atau pucuk ulam.
Setelah bahan tersebut telah tersedia, gaulkan bersama bronok yang telah dihiris di dalam sebuah mangkuk.
Gaul semua bahan dengan rata hingga sebati dan mesra, kemudian tambahkan perasa seperti garam dan gula secukup rasa.
Kemudian perahkan jus limau nipis untuk menambahkan rasa masam agar ia lebih enak.
Kerabu bronok sesuai dimakan sebagai pembuka selera atau hidangan sampingan dan selalunya dinikmati bersama nasi panas.
Tetapi perlu diingatkan, kepada yang baharu pertama kali ingin mencuba kerabu bronok ini, mulakan dengan kuantiti sedikit untuk disesuaikan dengan citarasa sendiri.
Seperkara juga perlu diberi perhatian, pastikan bronok dibersihkan dengan baik untuk mengelakkan rasa hanyir.
Selamat mencuba. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











