
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat menyatakan pendirian teguh dan sepenuhnya menyokong keputusan PAS Pusat untuk menggerakkan Himpunan Turun Anwar (HTA) yang akan berlangsung pada 26 Julai di Dataran Merdeka, di sini.
Pengarah Media dan Komunikasi Strateginya, Ts Dr Subash Chandrabose M Arumugam berkata, himpunan ini bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi merupakan manifestasi kuasa rakyat yang bangkit menentang kepincangan, kezaliman dan kegagalan pentadbiran kerajaan.
“Rakyat kini menanggung beban ekonomi, ketidaktentuan dasar, serta kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan negara.
“Sebagai sayap penyokong PAS yang mewakili suara masyarakat bukan Islam di seluruh negara, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk bersama-sama hadir dalam himpunan ini.
“Kita semua adalah rakyat Malaysia yang cintakan negara, mahukan keadilan, ketelusan dan kepimpinan yang amanah demi masa depan generasi akan datang,” katanya kepada Harakahdaily, tadi.
Beliau berkata, kehadiran masyarakat bukan Islam dalam himpunan amat penting sebagai simbol solidariti dan komitmen bersama untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus dihanyutkan oleh kegagalan pimpinan sedia ada.
“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal masa depan negara yang sedang menuju kehancuran sekiranya kita terus berdiam diri.
“Kami akan terus berdiri utuh di belakang kepimpinan PAS Pusat dan memainkan peranan aktif dalam menggerakkan masyarakat bukan Islam ke arah perubahan yang lebih baik untuk Malaysia.
“Ayuh! Bangkit bersama rakyat. Himpunan Turun Anwar, 26 Julai ini. Kita turun, demi negara tercinta,” serunya.
Terdahulu, Unit Mobilisasi Himpunan Turun Anwar dalam kenyataannya mengumumkan terdapat empat lokasi utama sebagai titik lokasi perhimpunan mengikut pembahagian negeri sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
“Rakyat dari seluruh negara kini giat membuat persiapan termasuk menempah bas dan penginapan bagi menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.
“Peserta akan berkumpul di empat lokasi utama iaitu Dataran Sogo bagi Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis; Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Manakala Masjid Negara bagi Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang; dan Pasar Seni bagi mahasiswa, badan bukan kerajaan dan tokoh-tokoh individu (NGO/NGI) serta pempengaruh.
“Peserta disaran hadir lebih awal di lokasi masing-masing sebelum digerakkan secara serentak ke Dataran Merdeka sebagai simbol suara rakyat yang menuntut perubahan kepimpinan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











